‘Biar kes Covid-19 reda dulu’

Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.
Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.
A
A
A

MESYUARAT Agung Luar Biasa (EGM) Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) harus berlangsung secara bersemuka memandangkan perkara yang akan diputuskan berkaitan soal pindaan perlembagaan badan induk tersebut.

“Biarpun EGM boleh diadakan secara dalam talian, namun kita tidak mahu dilabel acuh tidak acuh dengan mengadakan EGM secara dalam talian bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.

“Jadi lebih baik biar dulu situasi kes Covid-19 kembali reda sebelum diadakan EGM secara bersemuka untuk semua pihak secara fizikal melihat dan kemudiannya mengesahkan pindaan perlembagaan dan memilih kepimpinan baharu.

“Insya-ALLAH, kemelut yang melanda PSM ini akan berakhir dalam masa terdekat. Cuma PSM memerlukan masa yang sesuai untuk mengadakan EGM kerana ia melibatkan perkara penting,” kata sumber rapat PSM kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Mesyuarat Khas Ahli Majlis PSM pada 23 September lalu mengesahkan lapan daripada 11 ahli gabungan yang bertindak keluar daripada badan induk tersebut telah diluluskan kemasukan semula ke PSM.

"Permohonan kemasukan semula ini penting bagi membolehkan EGM, pemilihan kepimpinan dan Pindaan Perlembagaan mengikut proses dan tatacara yang betul.

“Saya juga ingin maklumkan bahawa Selangor, Putrajaya dan Sarawak tidak menghantar surat kemasukan semula ke dalam PSM selepas tarikh akhir yang ditetapkan pada 20 September lalu.

“Suka saya tegaskan bahawa PSM tidak akan menghantar lagi surat kemasukan semula buat kali ketiga kepada ketiga-tiga persatuan itu setelah surat pertama pada 2 Julai dan surat kedua pada 9 September dikeluarkan.

“Begitupun, PSM masih memberi ruang dan masa kepada Selangor, Putrajaya dan Sarawak untuk menghantar surat kemasukan semula masing-masing dalam masa terdekat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah mengadakan beberapa perbincangan dan rundingan bersama PSM dan wakil bekas ahli gabungan (G11) mengenai langkah pemulihan PSM termasuk membuat semakan dan pindaan Perlembagaan PSM.

“PJS diberi amanah untuk menerajui semakan semula Perlembagaan PSM. Dua sesi rundingan bersama PSM dan wakil G11 diadakan pada 17 dan 28 Jun lalu bagi memperkemas dan menambah baik Perlembagaan PSM.

“Rundingan tersebut berjalan lancar dalam suasana amat harmoni. Kedua-dua pihak amat komited dan bersatu hati untuk melakukan pembaharuan demi kepentingan dan kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw,” jelas PJS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!