Ancelotti akui taktikal Real Madrid kurang ampuh
PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti menyifatkan kekalahan 1-2 kepada kelab Moldova, FC Sheriff Tiraspol bagi aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu pada Rabu, berpunca daripada kegagalan pemain menterjemahkan perancangan taktikal pasukan.
Selain itu menurut Ancelotti, Sheriff mempamerkan aksi yang baik di sepanjang perlawanan berkenaan selain turut memanfaatkan peluang-peluang yang dimiliki bagi menewaskan Los Blancos.
“Pada peringkat awal, semua perkara berjalan dengan baik, bagaimanapun selepas itu Sheriff dilihat mula menguasai perlawanan dan kami pula yang dilihat beraksi dengan buruk.
“Terlalu sukar kami jelaskan apa yang berlaku sebenarnya pada perlawanan itu kerana pemain kami kebanyakannya dilihat telah beraksi dengan baik, cuma kelihatan agak kurang menyengat di depan pintu gol lawan,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan penyerang Sheriff, Jasurbek Yakhshiboev mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan sulung perlawanan pada minit ke-25.
Bagaimanapun penyerang, Real Madrid, Karim Benzema menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-65, sebelum Sebastien Thill menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan pada minit ke-89.
Kemenangan itu menyaksikan Sheriff kini gah di puncak Kumpulan D dengan enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut daripada dua perlawanan manakala Real Madrid pada kedudukan kedua dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan tewas sekali setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!