Jepun ujian sebenar Malaysia
SKUAD badminton negara perlu memulakan aksi terakhir peringkat Kumpulan D, Piala Sudirman berdepan Jepun pada Khamis tanpa terbawa-bawa kemenangan yang dilakar ke atas England dan Mesir dalam dua perlawanan awal sebelum ini.
Sebaliknya menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, semua pemain perlu bermula dengan menganggapnya perlawanan pembuka tirai kejuaraan tersebut.
“Bagi perlawanan menentang Jepun ini, semua pemain negara tanpa mengira pencapaian mereka sebelum dan pada kejuaraan ini, semuanya harus mula dengan baharu, bermula dengan zero (kosong).
“Rata-rata pemain masih lagi tercari-cari rentak masing-masing dalam dua perlawanan terakhir, menentang Jepun merupakan peluang terbaik untuk setiap pemain memperbaiki gaya permainan masing-masing,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Skuad negara bermula cemerlang pada kejuaraan edisi kali ini apabila melakar kemenangan 3-2 ke atas England sebelum membenam cabaran Mesir 5-0 dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan biarpun hanya menurunkan barisan kedua.
Pada masa sama Choong Hann menegaskan skuad negara mempunyai beberapa pilihan sama ada menurunkan barisan pemain terkuat seperti ketika menentang England atau menurunkan skuad kedua semasa menentang Mesir.
“Kita sudah congak ada beberapa strategi sama ada turun barisan terkuat untuk muncul juara kumpulan atau menurunkan barisan kedua, sama seperti ketika berdepan Mesir.
“Mungkin dengan menurunkan barisan kedua ini, pemain-pemain mendapat pengalaman berharga apabila berdepan dengan pemain-pemain handalan dunia nanti.
“Bagaimanapun, kita masih ada latihan lagi dan kita akan buat keputusan barisan pemain berdepan Jepun setelah selesai menjalani latihan terakhir nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!