Kerajaan Sabah tidak terkesan pembubaran Parlimen

A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditubuhkan pada 26 September tahun lalu selepas Pilihan Raya Negeri tidak akan terjejas, walaupun Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, kerjasama parti dalam gabungan itu dilihat tetap utuh dan semangat berpasukan akan diteruskan bagi menerajui kerajaan negeri hingga cukup satu penggal sehingga 2025.

"Ya. Mandat kami (GRS) adalah selama lima tahun dan tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh melengkapkan penggal tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita apakah GRS akan terus kekal memerintah sekiranya kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengadakan PRU15.

GRS terdiri daripada parti komponen Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS); Barisan Nasional (UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah, MCA, MIC) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pada 26 September lepas GRS secara rasmi membentuk kerajaan negeri setelah memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 dengan memenangi 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!