Hilang punca pendapatan selepas kaki dipotong

Sazali Ibrahim, 45, hilang sebelah kaki akibat penyakit kencing manis kronik.
Sazali Ibrahim, 45, hilang sebelah kaki akibat penyakit kencing manis kronik.
A
A
A

PASIR GUDANG - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah nasib bekas pengawal keselamatan apabila hilang pekerjaan selepas kaki kirinya dipotong pada 10 September lalu.

Menurut Sazali Ibrahim, 45, kakinya terpaksa dipotong dari lutut ke bawah bagi mengelakkan jangkitan kuman kesan daripada penyakit kencing manis kronik.

Bapa kepada tiga anak berusia 11 hingga 17 tahun itu berkata, selain kehilangan kaki, keluarganya juga diuji selepas isterinya, Junaidah Sarjo@Ahmad, 45, juga berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan selepas dikesan positif Covid-19 pada 16 Ogos lalu.

"Isteri saya terpaksa berhenti kerja kerana selepas sembuh daripada jangkitan Covid-19, dia sering demam dan diserang asma selain sudah tidak boleh berdiri lama.

"Untuk makan, kami sekeluarga makan apa yang ada. Adik-adik saya yang tinggal di Kota Masai datang membantu, begitu juga jiran yang banyak membantu," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Faridah Hamzah yang menghulurkan sumbangan barang keperluan dapur dan wang tunai di rumahnya pada Rabu.

Sazali yang kini menggunakan kerusi roda sedang memohon bantun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana dia dan isteri hilang sumber pendapatan, namun akan berusaha mencari kerja mengikut kemampuan.

Artikel Berkaitan:

Sazali menerima sumbangan barang keperluan dapur dan wang tunai daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Permata di rumahnya di Flat Taman Cendana, Pasir Gudang, pada Rabu.
Sazali menerima sumbangan barang keperluan dapur dan wang tunai daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Permata di rumahnya di Flat Taman Cendana, Pasir Gudang, pada Rabu.

Katanya, semua anak mereka masih bersekolah selain perlu membayar RM100 sebulan iaitu sewa rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didiami ketika ini.

Sementara itu, Faridah berkata, keluarga ini perlu dibantu kerana pasangan suami isteri tersebut sudah tidak mampu lagi bekerja.

"Pihak Permata akan membantu mengikut kemampuan bagi memastikan keluarga Sazali dapat meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Sazali Ibrahim menerusi CIMB Bank 7609289411 atau 011-1274 0097 dan juga boleh melalui 013-7065553 (Faridah) atau akaun Mybank Permata Baiduri Malaysia 551128630934.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!