Disiplin tinggi pemain faktor kemenangan TFC
[DIKEMASKINI] DISIPLIN tinggi ditunjukkan pemain dari awal hingga akhir permainan menjadi faktor kemenangan pasukan Terengganu FC (TFC) ke atas Selangor FC malam tadi.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, Selangor bukanlah pasukan mudah untuk ditewaskan namun kejayaan anak buahnya menyempurnakan perancangan awal yang dibuat ternyata membuahkan hasil.
"Saya ucap tahniah kepada pemain yang telah menunjukkan persembahan terbaik dan mengikut apa yang kita rancang dari awal hingga akhir permainan.
"Kami akui Selangor juga mempunyai peluang menang yang sama dan berjaya mencemaskan kubu pertahanan pada saat-saat akhir permainan, namun Alhamdulillah tekanan dapat diserap dengan baik oleh pemain," katanya selepas perlawanan kedua Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Terengganu beraksi cemerlang dalam pertemuan penuh dramatik menundukkan Selangor 2-1 hasil jaringan Dechi Marcel dan Lee Tuck pada minit ke-22 dan 51 manakala gol tunggal pasukan pelawat diperoleh pada minit ke-75 menerusi Mohamad Ashmawi Md Yakin.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan Terengganu sebagai pendahulu dalam Kumpulan B dengan kutipan enam mata manakala Selangor di tempat kedua dengan tiga mata.
Menurut Nafuzi, percaturannya dengan membina kekuatan jentera di bahagian tengah juga ternyata menjadi dan membuahkan hasil untuk skuad Penyu.
Sementara itu, pengendali skuad The Red Giants, Karsten Neitzel mengakui sedikit terkilan kerana gagal mengutip sebarang mata meskipun banyak peluang terhidang depan mata.
Bagaimanapun, beliau enggan menyalahkan anak buahnya 100 peratus kerana diakui telah memberikan persembahan terbaik serta tentangan sengit kepada skuad Penyu. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!