Gudang dikesan buang sisa industri diserbu
HULU SELANGOR - Sebuah gudang yang dipercayai melakukan pembuangan sisa berjadual dan industri berhampiran Batang Kali, di sini diserbu pihak berkuasa, baru-baru ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, sebelum ini, kerajaan negeri telah menerima aduan orang awam berhubung operasi gudang berkenaan yang dipercayai melakukan pembuangan sisa tersebut.
Beliau berkata, susulan itu, satu serbuan telah dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor bersama Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bagi menyiasat aduan itu dengan lebih lanjut.
"Hasil siasatan mendapati aduan itu adalah benar.
"Penilaian awal kami mendapati sisa-sisa ini tidak diuruskan mengikut piawaian ditetapkan dan premis juga tidak didaftarkan sebagai tempat bagi menjalankan aktiviti menguruskan sisa berjadual," katanya menerusi kemas kini di laman Facebook, pada Khamis.
Dalam pada itu, Sze Han berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dimaklumkan mengenai perkembangan kes itu bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dilakukan selepas ini.
"Sama-sama kita menjaga kelestarian alam sekitar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!