'UMNO-Pas dah bersanding' - Tok Mat

Mesyuarat bersejarah antara UMNO dan Pas berlangsung di Menara Datuk Onn, hari ini.
Mesyuarat bersejarah antara UMNO dan Pas berlangsung di Menara Datuk Onn, hari ini.
A
A
A
KUALA LUMPUR – Hari ini, 5 Mac 2019 termeterai satu kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas ke arah penyatuan ummah dengan mengambil kira masyarakat majmuk di negara ini tanpa meminggirkan agama dan bangsa lain.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dan Pas bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknikal khusus bagi membincangkan butiran kerjasama yang akan dilakukan bersama.

Menurutnya yang lebih mesra disapa Tok Mat berkata, hubungan UMNO dan Pas sudah terjalin sejak PRK Sungai Kandis.

“Mula-mula hantar cincin di Sungai Kandis, bertunang di Seri Setia, sekarang ini dah kenduri kahwin, ni dah sanding dah ni.

“Dah dua PRK Cameron Highlands dan Semenyih, rakyat dan akar umbi terima hubungan kami ini. Kerjasama ini bukan gabungan parti sebab itu simbol bukan isu, kami tak pinggir sesiapa,” katanya dalam sidang media di Menara Datuk Onn, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan olah Naib Presiden kedua-dua parti, iaitu UMNO melantik Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin manakala Pas pula melantik Datuk Idris Ahmad.

Katanya, jawatankuasa khas teknikal bersama itu akan dianggotai lima ahli bagi setiap parti termasuk juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berpengaruh.

“Ini bukan penyatuan dua parti, UMNO dan Pas. Ia kerjasama antara UMNO dan Pas, dan rakan parti komponen masing-masing atas isu yang ada asas untuk setiap parti.

“Tidak akan ada simbol baharu,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Perbincangan meja bulat UMNO dan Pas berlangsung dua jam setengah itu antara lain bersetuju meneruskan gerak kerja bersama dalam siri pilihan raya kecil yang akan datang.

“Selain itu, perbincangan tadi juga bersetuju memantapkan kerjasama di Parlimen sebagai pembangkang yang berfungsi sebagai semak dan imbang kepada Kerajaan PH.

“Hasil perbincangan pada hari ini akan dibawa berbincang di peringkat tertinggi dengan rakan-rakan parti masing-masing UMNO-BN dan Pas- Gagasan Sejahtera,” ujarnya.

Ketika ditanya penerimaan komponen BN, iaitu MCA dan MIC terhadap kerjasama UMNO dan Pas ini, Mohamad berkata, BN akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada Jumaat ini.

“Kerjasama ini tidak akan pinggirkan mana-mana pihak, tak ada apa-apa alasan untuk MIC dan MCA tak terima,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama ini menghormati dasar dan polisi masing-masing serta mencari titik persamaan.

Malah katanya, kehadiran pimpinan Pas dalam mesyuarat hari ini juga telah mendapat mandat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jadi ia bukanlah isu pertemuan ini tanpa kehadiran beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!