Agrobank perkenal pelan strategik, jaminan bekalan makanan

Agrobank
Agrobank
A
A
A

AGROBANK satu-satunya Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menumpukan sektor pertanian negara, mengumumkan pelan strategik lima tahun untuk memacu pemulihan sosioekonomi serta pertumbuhan dalam sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan.

Pelan Perniagaan Strategik 2021-2025 (SBP 2021-2025) itu antara lainnya menyasarkan untuk menyokong dan membangunkan komuniti agro, khususnya komuniti yang kurang mendapat perhatian dan terpinggir.

“Gelombang Covid-19 secara ketara telah mengubah beberapa trend sedia ada, khususnya dalam penggunaan digitalisasi. Kami yakin masih banyak lagi yang boleh dilakukan untuk komuniti dan banyak pelan menarik yang telah kami susun bagi menyokong pemulihan jangka panjang bagi sektor pertanian,” kata Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, SBP 2021-2025 akan menumpukan empat bidang fokus termasuk pembangunan pertanian - menyelaraskan aktiviti teras Agrobank ke arah menyokong bidang-bidang tumpuan negara bagi pembangunan pertanian.

Ia turut memberi fokus terhadap pelanggan secara inklusif bagi membantu usaha menaik taraf mereka dalam segmen utama, terutama kalangan B40, usahawan dan belia Perusahaan Kecil dan Sederhana berasaskan pertanian (PKS Agro) dengan menjadi rakan kongsi dalam membangunkan kesejahteraan kewangan dan memperbaiki keseluruhan pengalaman mereka.

Pelan tersebut turut menyasarkan model perniagaan transformatif dengan memperkenalkan cara baharu Agrobank menjalankan perniagaan berteraskan matlamat untuk menyokong pembangunan sektor pertanian menerusi modus-modus yang melangkaui perbankan konvensional.

Selain itu, SBP 2021-2025 juga bermatlamat untuk mengekalkan keseimbangan antara memperkukuh impak pembangunan dan memastikan kestabilan kewangan.

Dalam pada itu, Agrobank turut menyatakan komitmennya untuk terus memainkan peranan menerusi usaha pengagihan pakej-pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh kerajaan dan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) serta kemudahan pemulihan lain.

Artikel Berkaitan:

Malah, setakat ini, bank tersebut telah mengagihkan pelbagai jenis dana rangsangan termasuk di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Bank Negara Malaysia berjumlah kira-kira RM924 juta yang telah memanfaatkan seramai 14,824 pelanggannya di seluruh negara.

Selain bantuan pembiayaan, Agrobank juga terus memberi sokongan untuk memenuhi perubahan keperluan semasa pelanggannya menerusi Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) yang menawarkan pelbagai kursus dalam talian, webinar dan program bimbingan khas. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!