Banjir kilat di Taman Johor, Kempas

Norisham (kiri) mengemas rumahnya di Jalan Belumut, Taman Johor, Kempas, Johor Bahru selepas banjir surut.
Norisham (kiri) mengemas rumahnya di Jalan Belumut, Taman Johor, Kempas, Johor Bahru selepas banjir surut.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hujan lebat berterusan sejak awal pagi Khamis menyebabkan beberapa buah rumah penduduk di Jalan Belumut, Taman Johor, Kempas, di sini dinaiki air.

Penduduk, Norisham Norman, 44, berkata, keluarganya panik kerana air naik begitu pantas memasuki kawasan rumah dan surut dua jam kemudian.

"Rumah saya terletak hanya 25 meter dari Sungai Sekudai. Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan air sungai melimpah.

"Saya dan isteri, Norlin Maskor, 41, terjaga daripada tidur kira-kira jam 5 pagi selepas terdengar jeritan jiran yang memaklumkan air sudah naik di kawasan perumahan kami," katanya.

Menurut Norisham, isteri dan dua orang anaknya berusia enam dan lapan tahun berlindung di bilik tingkat atas rumah.

M Prakash menunjukkan tembok rumah yang runtuh akibat banjir kilat di Jalan Belumut, Taman Johor, Kempas, Johor Bahru.
M Prakash menunjukkan tembok rumah yang runtuh akibat banjir kilat di Jalan Belumut, Taman Johor, Kempas, Johor Bahru.

"Saya tidak sempat selamatkan barangan rumah kerana air naik sehingga paras satu meter.

"Mujur banjir surut cepat dan pagi ini saya membersihkan rumah. Namun, saya tetap bimbang banjir akan berulang memandangkan cuaca masih mendung," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, M Prakash, 26, berkata, banjir kilat itu menyebabkan rumah yang baru siap diubah suai rosak teruk dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM30,000.

Menurut Prakash, dia dan pekerja baru sahaja selesai menyiapkan kerja ubah suai rumah berkenaan pada Rabu dan akan menyerahkan rumah itu kepada pelanggannya Jumaat ini.

Sampah sarap, lumpur dan selut serta kayu memenuhi kawasan di dalam rumah penduduk yang dilanda banjir di Jalan Belumut, Taman Johor, Kempas, Johor Bahru.
Sampah sarap, lumpur dan selut serta kayu memenuhi kawasan di dalam rumah penduduk yang dilanda banjir di Jalan Belumut, Taman Johor, Kempas, Johor Bahru.

"Pagi tadi jiran menelefon saya memaklumkan rumah yang diubah suai ditenggelami air selepas air Sungai Sekudai yang terletak di belakang rumah melimpah akibat hujan lebat.

"Kesan lumpur dan selut memenuhi lantai rumah dengan kayu serta sampah sarap memenuhi bilik air malah tembok belakang yang siap dibina di sebelah sungai runtuh dan rosak," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Yazid Abd Rahman berkata, sebaik menerima panggilan jam 6.24 pagi berhubung kejadian itu, enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggota bertindak melakukan pemantauan rumah ke rumah bagi memastikan tiada mangsa terperangkap dan keadaan selamat," katanya menerusi kenyataan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!