Tun M yakin pandemik Covid-19 ditangani dalam masa terdekat
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin kerajaan dapat menangani masalah penularan pandemik Covid-19 dalam masa terdekat berdasarkan penurunan kes harian yang direkodkan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, bilangan kes baharu harian ketika ini berkurang menghampiri 10,000 kes berbanding 25,000 kes sehari yang direkodkan sebelum ini.
"Saya berasa amat gembira dengan kejayaan kerajaan dalam menangani Covid-19.
"Apabila kerajaan menubuhkan satu badan (Majlis Pemulihan Negara) dan membentuk kepimpinan badan itu, dengan serta-merta kes berkurang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Justeru itu, beliau percaya negara akan dapat mengatasi masalah wabak berkenaan dalam jangka masa yang tidak panjang.
"Dengan itu, kita dapat memulihkan semula semula ekonomi negara kita.
"Tapi ekonomi baharu ini tidak seperti ekonomi lama kerana ia bergantung kepada ilmu pengetahuan terutama dalam penggunaan teknologi digitalisasi kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!