Chelsea tewas akibat hilang kekuatan mental
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menyifatkan skuad kendaliannya itu seolah-olah telah kehilangan ‘kekuatan mental’ masing-masing hingga menyumbang kepada kekalahan 0-1 kepada Juventus pada aksi Liga Juara-Juara, pada Khamis.
Malah menurut Tuchel, kesebelasan The Blues dilihat banyak melakukan kesilapan pada perlawanan berkenaan dan keadaan itu berjaya dimanfaatkan skuad The Old Lady itu untuk menguasai perlawanan.
“Sebelum perlawanan, kami telah mengadakan sesi latihan yang dilihat cukup baik dan berjalan lancar. Kesemua pemain kelihatan bersedia untuk bangkit melakar kemenangan setelah tewas 0-1 kepada Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.
“Bagaimanapun, pemain dilihat bergelut mencari rentak bagi menyaingi asakan-asakan Juventus yang turut dilihat mengamalkan gaya permainan bertahan yang agak baik.
“Selain itu, kesilapan-kesilapan yang kita lakukan turut menyebabkan pemain kelihatan hilang keyakinan bagi mengharungi perlawanan berkenaan dan akhirnya menyaksikan kekalahan kita,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan penyerang Juventus, Federico Chiesa menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-46 bagi memastikan The Old Lady meraih enam mata dan mengukuhkan kedudukan selaku peneraju Kumpulan H.
Sementara itu Tuchel berkata, kekalahan berkenaan diharap menjadi pengajaran buat kesebelasan pemain bagi menggandakan usaha mengharungi perlawanan akan datang.
Katanya, kesebelasan The Blues itu juga perlu memastikan jentera serangan pasukan kembali ‘menyengat’ selepas ini bagi merobek gawang lawan.
“Kita akui sejak kebelakangan ini jentera serangan kita sememangnya kelihatan agak kurang menyengat. Mereka gagal menjaringkan lebih banyak gol seperti yang diharapkan.
“Oleh itu, apabila berdepan dengan Juventus yang mengamalkan sistem bertahan, jentera serangan kita menjadi seperti hilang punca,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!