Inisiatif RMK12 perlu cakna, prihatin isu agihan semua golongan

Muhyiddin berhujah mengenai RMK12 pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin berhujah mengenai RMK12 pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif dan strategi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) perlu bersifat cakna dan prihatin kepada isu agihan bagi memastikan kekayaan, pertumbuhan dan peluang dinikmati semua golongan.

Ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat pada Khamis, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) berkata, pembangunan inklusif atau keterangkuman perlu dijadikan kunci utama dalam RMK12 supaya tiada golongan ketinggalan khususnya masyarakat pedalaman, bumiputera dan Melayu, orang asli dan pribumi Sabah serta Sarawak.

“Dalam peralihan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, realiti kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik lebih setahun lalu perlu diberi penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya di samping kepentingan masyarakat bumiputera khususnya di Sabah dan Sarawak untuk mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi.

“Jika sebelum ini rakyat Malaysia dikategorikan dalam kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20, realitinya kini sudah berlaku rombakan ketara apabila ramai dalam kalangan M40 yang tergelincir ke dalam kumpulan B40 kerana kehilangan mata pencarian atau terjejas sumber pendapatan sepanjang pandemik,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, tumpuan juga perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan bagi memastikan pembangunan bakat dan modal insan memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi, di samping meneroka potensi pekerjaan baharu terutama melibatkan ekonomi gig dan yang berteraskan Era Teknologi Digital.

Katanya, kerajaan perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini kerana setakat ini 376,000 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan ini.

“Pada permulaan pelaksanaan RMK12 ini, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang mengganggur akibat pandemik Covid-19 perlu diberikan keutamaan.

“Penting dalam usaha kita untuk merangka strategi dan tindakan proaktif menyediakan bentuk-bentuk bantuan mengikut realiti yang didepani setiap rakyat pada hari ini, agar segala bantuan dapat disalurkan secara bersasar dan memenuhi kehendak golongan yang benar-benar memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin berkata, beliau memikul amanah untuk memastikan segala strategi dan usaha pemulihan negara yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa halangan termasuk menubuhkan Majlis Pemulihan di setiap negeri supaya setiap keputusan dilaksanakan segera dan proses pemulihan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mencadangkan kerajaan memantapkan pengurusan kewangan dengan memperbaiki sistem kutipan hasil dan menggunakan undang-undang sedia ada untuk menyeragamkan sistem cukai jualan dan perkhidmatan bagi memperbaiki prestasi kutipan hasil cukai.

Usaha itu dapat mengelakkan berlaku ketirisan dan ketidakpatuhan dalam pembayaran cukai yang boleh menjejaskan hasil negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!