Lapor terus kepada pejabat agama
ALOR SETAR - Pengguna terutamanya umat Islam di Kedah perlu berhati-hati dalam memilih produk makanan selepas ini termasuk memeriksa status halal terlebih dahulu sebelum membelinya.
Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pihaknya melalui Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di bawah bahagian penguatkuasaan dan halal tidak memandang ringan setiap perkara yang membabitkan status dan penyediaan makanan yang suci dan halal di negeri ini.
Menurutnya, pengguna juga wajar menjadi mata dan telinga kepada pejabat agama di setiap daerah sekiranya ada mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan dalam penghasilan atau pembuatan makanan.
"Pengguna juga boleh terus buat aduan kepada pejabat agama daerah berdekatan jika melihat atau ragu-ragu dengan aktiviti penghasilan produk makanan di negeri Kedah bukan sahaja membabitkan ikan kering saja tetapi semua jenis produk makanan," katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas isu pemprosesan ikan kering yang telah didapati dijalankan secara tidak bersih dan dilaporkan berlaku di Daerah Langkawi, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Jijik, ikan kering dijemur jadi santapan anjing
Dr Ismail berkata, pengguna atau pembeli perlu peka dengan setiap barangan yang dibeli terutamanya membabitkan logo halal yang sah.
Jelasnya, aspek kebersihan juga perlu dititikberatkan malah pengguna mempunyai hak untuk tidak membelinya sekiranya ragu-ragu dengan status barangan berkenaan.
"Tetapi ada juga barang makanan seperti ikan kering tu, mana ada logo halal, jadi yang itu kita kena 'alert', perlu ada kesedaran untuk memilih dan membeli makanan. Jika kita rasa ragu jangan beli," katanya lagi.
Mengulas mengenai penguatkuasaan pula, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya ada laporan membabitkan perkara yang sama selepas ini.
"Sudah tentu bahagian halal dan penguatkuasaan JAIK dan KPDNHEP perlu bergabung tenaga untuk pantau dan jika ada laporan. Kita perlu turun padang dan melihat sama ada rantaian jualan-jualan makanan ini adakah akan sampai kepada orang Islam ataupun tidak," katanya.
Semalam Sinar Harian melaporkan Pihak berkuasa perlu memandang serius selepas banyak aduan berkaitan kebersihan pemprosesan makanan membabitkan ikan dan udang kering di kawasan utara diterima oleh Persatuan Pengguna Melayu Kawasan Utara (PPMKU).
Presidennya, Che Johan Che Hassan berkata, pihak yang berkaitan terutama pihak berkuasa tempatan perlu berada di barisan depan dalam menangani isu-isu sensitif selepas insiden enam ekor anjing di sebuah kawasan jemuran ikan kering di Langkawi yang memijak dan memakannya tidak boleh dipandang ringan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!