Darulaman Lagenda tawar rumah mampu milik di Sungai Petani

Gambar ilustrasi projek pembangunan Darulaman Lagenda di Sungai Petani. (Gambar kecil: Faris Najhan)
Gambar ilustrasi projek pembangunan Darulaman Lagenda di Sungai Petani. (Gambar kecil: Faris Najhan)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Perbandaran mampu milik Darulaman Lagenda seluas kira-kira 93 hektar akan dibangunkan BDB Lagenda Sdn Bhd (BDB Lagenda) iaitu syarikat usaha sama di antara BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) dan LPB Development Sdn Bhd dengan nilai keseluruhan pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM550 juta.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad, Faris Najhan Hashim berkata, fasa pertama permulaan projek akan melibatkan pembangunan seluas 11 hektar dengan penyediaan sebanyak 282 unit rumah setingkat mampu milik.

Menurutnya, ia akan melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM57.60 juta dengan anggaran harga jualan antara RM180,000 hingga RM250,000.

"Pendaftaran bagi fasa pertama akan bermula pada November ini dengan jangkaan bagi kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada suku kedua tahun 2022 yang akan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Faris Najhan berkata, sebaik selesai fasa pertama, BDB Lagenda akan meneruskan pembinaan bagi fasa-fasa seterusnya yang akan memberi penekanan dalam penyediaan rumah mampu milik.

"Fasa seterusnya akan melibatkan pembangunan seluas 80 hektar dengan anggaran penyediaan 2,212 unit rumah mampu milik yang terdiri daripada rumah teres satu tingkat dan juga rumah kluster dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM500 juta," katanya.

Tambah Faris Najhan, permintaan terhadap rumah mampu milik khususnya di kawasan Sungai Petani adalah tinggi berbanding dengan penawaran.

"Justeru itu, BDB Lagenda mengambil peluang ini untuk memenuhi permintaan tersebut walaupun kita masih berhadapan krisis pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan keadaan pasaran hartanah.

Artikel Berkaitan:

"Secara amnya, pihak kami menjangkakan lonjakan pasaran hartanah akan mula dirasai pada suku keempat tahun 2021 dengan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kami menyeru orang ramai yang berminat untuk segera mendaftar agar tidak ketinggalan memiliki rumah mampu milik di Darulaman Lagenda ini," katanya.

Katanya, BDB Lagenda sangat komited untuk membangunkan Darulaman Lagenda sebagai perbandaran mampu milik secara keseluruhannya.

"Darulaman Lagenda akan menyediakan peluang kepada penduduk setempat terutama bagi pembeli rumah pertama untuk memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik.

"Projek ini akan menyediakan anggaran sebanyak 2,500 unit rumah mampu milik yang akan menjadi pencetus kepada pembangunan perbandaran seumpamanya di negeri Kedah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!