Pantun merdeka Zam bernilai RM2,000
Ibu dua anak muncul pemenang tempat pertama Peraduan Uji Minda Merdeka PTPTN X Sinar Harian yang julung kali diadakan bagi mendidik masyarakat mengenai perancangan kewangan untuk masa hadapan dan mengenal erti kemerdekaan.
Zam Khalid berjaya membawa pulang hadiah berupa RM2,000 akaun Simpan SSPN Prime dan barangan eksklusif PTPTN.
Percubaannya menyertai peraduan buat kali pertama dalam hidupnya berhasil dengan menggondol hadiah tempat pertama Simpan SSPN Prime.
“Saya tidak menyangka boleh menang sebab pada awalnya hanya sekadar suka-suka kerana tertarik dengan peraduan ini yang mengajar kita untuk membuat perancangan kewangan.
“Apabila menang RM2,000, saya rasa bersyukur kerana ia bantu saya menambah tabungan pendidikan sedia ada untuk anak-anak kerana sejak tahun lalu saya telah buka akaun Simpan SSPN untuk kedua-dua anak saya.
“Tabungan ini sangat penting untukmenjamin masa depan anak-anak dan ia harus dimulakan sejak anak masih kecil,” katanya pada majlis penyampaian hadiah peraduan itu yang diadakan secara maya pada Rabu.
Simbolik penyerahan hadiah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Tempat kedua berjaya dirangkul bapa kepada empat anak, Sabarudin Md Dam sekali gus memenangi RM1,000 Simpan SSPN Prime dan barangan eksklusif PTPTN.
Menurut Sabarudin, dia bersyukur kerana menjadi insan bertuah memenangi hadiah daripada ribuan peserta yang menyertai peraduan berkenaan.
“Peraduan ini cukup mudah, tidak perlu slogan tetapi peserta dikehendaki mencipta pantun kreatif. Ia juga membuka minda generasi baharu mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia dan perancangan kewangan.
“Lebih penting lagi, menerusi peraduan ini juga PTPTN turut memberi maklumat tentang bantuan yang diberikan dalam pendidikan tinggi anak-anak,” katanya.
Dia sendiri mengambil langkah awal membuka akaun tabungan pendidikan kepada semua anak-anaknya seawal usia tiga tahun dan anak sulungnya kini sudah berusia 25 tahun.
Sementara itu, kemenangan tempat ketiga berjaya diraih Wan Nurain Suleiman yang memperoleh RM500 Simpan SSPN Prime dan barangan eksklusif PTPTN.
Wan Nurain yang diwakili suaminya, Mohd Shafiq Mohd Ghous mengakui gembira kerana dengan hanya berniat cuba menghantar dua penyertaan, namanya terpilih sebagai tiga pemenang utama.
“Saya tertarik dengan syarat peraduan ini yang meminta peserta mencipta pantun bertemakan produk PTPTN dan kemerdekaan, jadi saya sarankan isteri buat dan hantar penyertaan.
“Hadiah RM500 yang dimenangi ini ibarat rezeki untuk anak-anak kami. Tabungan ini akan bantu mereka untuk menyambung pengajian nanti,” katanya.
Pelbagai manfaatSementara itu, Ahmad Dasuki berkata, peraduan Uji Minda Merdeka yang diadakan di platform digital dan akhbar Sinar Harian sempena Hari Kemerdekaan Ke-64 dan Hari Malaysia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Menerusi peraduan ini, kami sebagai tabung pendidikan tinggi utama negara ingin mengajak masyarakat Malaysia memerdekakan diri dan minda daripada masalah kewangan.
“Bagaimana caranya? Kita beri panduan perancangan kewangan yang baik kepada masyarakat Malaysia terutamanya ibu bapa dalam memastikan anak-anak mempunyai simpanan yang mencukupi bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau menjelaskan, perancangan kewangan atau penabungan perlu dibuat awal dan ia selari dengan produk baharu PTPTN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang memberi penambahan manfaat takaful yang lebih menarik.
“Untuk memberi keterujaan kepada pelanggan, PTPTN sediakan pelbagai manfaat menerusi produk ini seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan dijamin kerajaan,” jelasnya.
Beliau gembira melihat kegembiraan yang dipamerkan semua pemenang peraduan berkenaan.
Katanya, itu adalah pengalaman dan penghargaan yang diberikan kepada masyarakat Malaysia setiap kali PTPTN mengadakan peraduan dengan menyediakan insentif-insentif kepada orang ramai.
Menurutnya, dengan sambutan menggalakkan yang diterima itu, pihak PTPTN berharap untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan dan akan mempelbagaikannya lagi.
“Kerjasama bersama Sinar Harian akan dilanjutkan bagi peraduan atau program-program lain yang akan datang agar sama-sama melahirkan masyarakat yang peka atau cakna kepada perancangan kewangan,”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin memberitahu, kerjasama bersama PTPTN itu adalah yang julung kali melibatkan platform digital dalam kalangan rakan strategik Sinar Harian.
“Melalui peraduan ini, kita sampaikan mesej berguna kepada masyarakat Malaysia mengenai pentingnya kita merdeka dari segi kewangan.
“Ini kerana setelah terjadinya pandemik Covid-19 baru kita sedar tabungan itu sangat berguna,” katanya.
Peraduan Uji Minda Merdeka PTPTN X Sinar Harian itu bermula pada 8 hingga 23 September lalu dan menawarkan hadiah dengan nilai keseluruhan RM6,000 kepada 13 pemenang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!