Dasar Kabotaj bukan faktor tunggal tidak sertai projek Apricot

Wee Ka Siong - Foto Bernama
Wee Ka Siong - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Dasar Kabotaj tidak wajar dipersalahkan sebagai satu-satunya faktor apabila Malaysia tidak terlibat dalam projek sistem kabel dasar laut Apricot, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Malah, beliau menegaskan, ini berikutan polisi atau pendekatan berkaitan adalah tertakluk kepada pematuhan Dasar Kabotaj yang telah diamalkan sejak 1980.

Menurutnya, sama ada Malaysia terbabit atau tidak dalam projek Apricot atau projek-projek lain, ini adalah berdasarkan pelbagai faktor lain termasuk tawaran dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat gergasi teknologi.

“Projek Apricot adalah projek pemasangan kabel, baik ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau kerajaan sekarang yang mana polisinya tetap sama, masih tertakluk kepada Dasar Kabotaj yang diamalkan sejak 1980.

"Pembatalan Pengecualian Dasar Kabotaj sekarang hanyalah (berkaitan) kepada kerja pembaikan (dan bukannya pemasangan) kabel dasar laut... dan ia tidak menghalang kemasukan pelaburan asing dalam industri digital.

“Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan projek kabel dasar laut baharu seperti MIST (Malaysia, India, Singapura, Thailand) Cable System yang menghubungkan Malaysia, Singapura, Myammar, Thailand dan India serta India-Asia Xpress Cable System,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai status ‘kehilangan’ pelaburan daripada projek Apricot yang ekoran dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membatalkan pengecualian kabotaj untuk syarikat teknologi tinggi pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Menurut laporan media sebelum ini, Facebook dan Google akan turut serta dalam projek Apricot di seluruh Asia Pasifik bersama-sama rakan serantau dan global.

Artikel Berkaitan:

Ka Siong berkata, sistem kabel dasar laut Apricot itu akan menghubungkan Singapura, Jepun, Guam, Filipina dan Indonesia.

Sepertimana diumumkan oleh syarikat Arus Restu Sdn Bhd (ARSB), syarikat tempatan yang bertanggungjawab membina stesen pendaratan kabel dasar laut untuk sistem kabel MIST di Selangor pada 23 Ogos 2021, sistem kabel MIST akan turut disambungkan dengan sistem kabel Apricot.

“Ini bagi menyediakan laluan alternatif menghubungkan pelbagai bandar utama di Asia Pasifik dengan selamat dan meningkatkan lagi kapasiti internet di rantau ini.

"Penghubungan kedua-dua sistem ini juga akan turut menyambung Malaysia secara terus dengan Guam, Jepun dan Taiwan," katanya.

Menurut ARSB, sistem kabel Apricot merupakan kabel dasar laut fiber optik berkapasiti besar yang baharu di negara-negara Asia dan Amerika Syarikat dan dilengkapkan dengan sistem kabel MIST yang melibatkan pelaburan oleh Orient Link Ltd.

Ka Siong berkata, sebagaimana penjelasan kementerian itu pada 22 September 2021, pengecualian Dasar Kabotaj yang diberikan untuk aktiviti pembaikan kabel dasar laut sebelum ini hanya merujuk proses pengesahan ketiadaan kapal tempatan yang perlu diperoleh kapal asing sebelum memohon Lesen Perkapalan Dalam Negara (DSL).

"Semasa pengecualian diberikan, DSL hanya dipohon selepas sesebuah kapal asing masuk ke perairan Malaysia. Kementerian berpandangan bahawa adalah lebih elok serta teratur bagi permohonan DSL dibuat terlebih dahulu sebelum sesebuah kapal asing memasuki perairan Malaysia. Ini soal kedaulatan negara,” katanya.

Jelas beliau, biarpun pengecualian itu telah dibatalkan, kapal-kapal asing terlibat dengan pembaikan kabel dasar laut masih boleh beroperasi di perairan Malaysia, sepertimana dibuktikan menerusi kelulusan 10 DSL untuk dua kapal asing, ASEAN Explorer dan ASEAN Restorer bagi tempoh Disember 2020 hingga Ogos 2021.

“Malah, kelulusan ini diberi dalam tempoh tiga hari sahaja berbanding lima hingga tujuh hari yang diambil sebelum ini ketika pengecualian tersebut berkuatkuasa pada zaman kerajaan PH," katanya.

Menurutnya, pihak kementerian akan terus menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan ke atas proses permohonan DSL melalui penaiktarafan Sistem Electronic DSL (eDSL).

“Selain itu, kementerian juga berpandangan bahawa kerajaan perlu mengimbangi inisiatif dan usaha pelaburan digital pihak luar dengan usaha-usaha membina kapasiti industri perkapalan tempatan, mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin agar tidak menjejaskan kepentingan Malaysia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!