Sektor pelancongan Melaka dibuka mulai esok

A Famosa. - Foto 123rf
A Famosa. - Foto 123rf
A
A
A

MELAKA - Sektor pelancongan Melaka akan dibuka kepada rakyat negeri itu bermula esok sempena peralihan ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Menurut beliau, antara aktiviti dibenarkan adalah pelancongan dan kebudayaan dalam negeri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk hanya 50 peratus pelancong dibenarkan berada di dalam premis pelancongan, memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan sanitasi.

"Pembukaan sektor pelancongan ini hanya melibatkan produk pelancongan yang ada dalam senarai positif, manakala yang dalam senarai negatif seperti kelab hiburan dan hiburan malam tidak dibenarkan lagi," katanya ketika ditemui pemberita di Seri Negeri, di sini pada Khamis.

Muhammad Jailani berkata, antara produk pelancongan yang akan dibuka ialah zoo, ladang, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, sukan ekstrem dan taman semula jadi.

Selain itu, katanya premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, Perkampungan Hang Tuah, galeri seni, pusat dan kampung seni warisan budaya dan pentas persembahan budaya, taman tema serta pusat hiburan keluarga turut dibenarkan beroperasi.

Muhammad Jailani berkata, pihaknya akan memantau perkembangan pembukaan sektor tersebut dari aspek peningkatan kes positif Covid-19 negeri itu dalam tempoh dua minggu akan datang, sebelum membuat pertimbangan membuka kepada pelancong luar Melaka.

Beliau juga berharap, SOP khusus bagi sektor pelancongan Melaka daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat segera diperoleh.

"Kawasan pelancongan atau warisan di Melaka terletak dalam kawasan yang agak sempit dan bertumpu tidak seperti seperti di Langkawi, Genting Highland dan Pulau Tioman, jadi kami kena berhati-hati demi nyawa rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, beliau selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) mewakili agensi itu menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly dan disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman berkata, MoA berkenaan bertujuan melaksanakan pembangunan dan garis panduan pemeriksaan serta penilaian kerosakan di setiap bangunan warisan di Melaka.

Beliau berkata, perjanjian itu juga melibatkan kajian kualiti udara di dalam bangunan warisan khususnya dari aspek kelembapan akibat penggunaan penyaman udara, selain kajian keberdayatahanan bangunan Stadthuys yang melibatkan cadangan kerja, penyelamatan dan tatacara pemulihan.

"Struktur pembinaan setiap bangunan warisan di Melaka mungkin berbeza dari segi teknologi dan bahan binaan yang digunakan, selain telah dibina sejak ratusan tahun lalu.

"Jadi, kajian perlu dibuat bagi memelihara semua bangunan warisan yang ada kerana ia merupakan aset dan produk pelancongan Melaka," katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!