Saran tingkatkan perbelanjaan sektor kesihatan
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago menyarankan kerajaan meningkatkan perbelanjaan sasaran untuk sektor kesihatan sebanyak tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun yang akan datang.
Beliau berkata, perbelanjaan itu meliputi kerajaan dan swasta serta disalurkan secara berperingkat.
"Pandemik Covid-19 memberikan peluang kepada kerajaan untuk memikirkan kembali peruntukan dalam penjagaan kesihatan.
"Perbelanjaan 4.7 peratus sekarang daripada KDNK (2020) untuk kesihatan ini rendah berbanding dengan negara membangun dan maju yang lain," katanya pada perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Berikutan itu, Charles memberitahu, sektor kesihatan mengalami beberapa kekangan termasuk kekurangan peruntukan beberapa tahun lalu yang jelas mendedahkan kelemahan pada waktu pandemik.
Menurut beliau, kemungkinan mutasi Covid-19 berlaku turut memberi cabaran kepada sektor kesihatan.
Jelasnya, kes penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kanser, diabates, sakit jantung dan sebagainya kurang diberi perhatian dalam tempoh Covid-19 sehingga mempunyai tunggakan atau 'backlog' rawatan.
"Oleh kerana itu, saya cadang sejumlah tujuh peratus KDNK diperuntukkan untuk menaik taraf sistem yang sedia ada dan juga mempersiapkan hospital untuk bersedia menghadapi krisis kesihatan seterusnya.
"Saya cadang supaya proses penaiktarafan akan mengambil kira pengambilan lebih banyak doktor dan kekalkan doktor yang sedia ada dalam sistem kesihatan awam serta memperbaiki terma kontrak," katanya.
Selain itu, ujarnya, ia juga untuk memodenasikan hospital dan sektor perubatan di Malaysia dengan digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya serta meningkatkan penggunaan teknologi baharu dalam perubatan.
Charles menjelaskan, kerajaan juga perlu mengizinkan doktor di sektor swasta bekerja sambilan di sektor awam dan mewujudkan mekanisme baharu dalam mengekalkan atau menambah pakar perubatan dalam hospital kerajaan termasuk pakar psikiatri.
Katanya, peruntukan yang lebih besar juga perlu diberikan untuk rawatan NCD selain mewujudkan pusat terapi khusus untuk kanser dan NCD yang kian meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!