Pertingkat keselamatan siber elak kes kebocoran maklumat: Annuar

Annuar (dua dari kanan)pada pelancaran The Cendana Art in The City 2021 di Sentul pada Khamis.
Annuar (dua dari kanan)pada pelancaran The Cendana Art in The City 2021 di Sentul pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan isu kebocoran maklumat data peribadi baru-baru ini harus membuka mata agensi terlibat untuk meningkatkan keselamatan siber bagi Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Malaysia berada di tangga kelima di dunia bagi keselamatan siber namun itu tidak bermaksud ruangan siber terlepas ancaman serangan.

"Dari sudut tanggung jawab, ia di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) tetapi Kementerian Komunikasi dan Media (KKMM) juga ada agensi yang mempunyai peranan memberikan khidmat kesedaran dan kefahaman terhadap aspek berkaitan keselamatan data.

"Bagi kes kebocoran data, penyiasatan mendalam perlu dijalankan termasuk kajian forensik terhadap kebocoran itu dan pihak yang perlu bertanggung jawab," katanya selepas pelancaran The Cendana Art in The City 2021 di Sentul pada Khamis.

Beliau memaklumkan, meminta SKMM untuk memberikan perhatian serius mengenai keselamatan data peribadi dan siber.

"Jika hendak menjadikan Malaysia sebagai pusat digital di negara Asia, kita mesti beri keyakinan mengenai keselamatan siber kepada pengguna serta pelabur.

"SKMM perlu teliti beberapa fasa di bawah akta SKMM yang diwujudkan lebih 20 tahun lalu supaya aspek keselamatan siber ditangani secara perundangan dengan cukup berpadanan bagi menunjukkan betapa seriusnya aspek keselamatan ini," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan pangkalan data dipercayai milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa dijual di forum pasaran pangkalan data terkenal.

Artikel Berkaitan:

Penjual untuk forum tersebut mendakwa ia mengandungi empat juta data peribadi rakyat Malaysia yang diperoleh daripada portal rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) yang dibuat untuk MyIdentiti.

Bagaimanapun, Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tiada sebarang kebocoran maklumat dalam data peribadi MyIdentiti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!