Kediaman rasmi Seri Perdana rosak teruk jika lambat dibaiki

Kompleks Seri Perdana
Kompleks Seri Perdana
A
A
A

PUTRAJAYA - Bangunan Seri Perdana akan mengalami kerosakan lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pasti meningkat jika tidak dibaiki dengan segera.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan membaik pulih kompleks kediaman rasmi Perdana Menteri itu dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan memandangkan ia adalah bangunan warisan kerajaan.

Katanya, Seri Perdana menjadi lambang institusi ketua kerajaan serta imej negara ini dan keputusan itu dibuat agar keadaannya kembali kepada asal.

"Saya ingin memberikan penjelasan berhubung kerja-kerja membaik pulih Seri Perdana yang diluluskan semasa pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri.

"Ketika saya mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020, saya menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.

"Kerosakan ini melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang rosak atau usang. Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan menyebabkan kerosakan perabot 'built-in', lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Muhyiddin, beliau dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana terlalu usang.

Artikel Berkaitan:

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Katanya, menurut pandangan pakar sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun itu boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.

"Berdasarkan laporan saya terima, pihak JPM juga mengesyorkan perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar.

"Oleh kerana bangunan Seri Perdana mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain sistem pendawaian dan mekanikal usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal.

"Saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi," jelas Muhyiddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk memastikan proses baik pulih dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan dengan hasil berkualiti, kerja-kerja baik pulih dipantau rapat oleh sebuah pasukan petugas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau percaya, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

"Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti diamalkan oleh kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.

"Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!