Al-Quds pasarkan produk daging tempatan di Pasaraya Lotus's Malaysia

MAFI
MAFI
A
A
A

PUTRAJAYA- Pengeluar dan pengusaha produk daging tempatan, Syarikat Al-Quds Livestock menjalinkan kerjasama strategik bersama Lotuss Store Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) untuk memasarkan produk daging tempatan ke rangkaian pasar raya itu di Lembah Klang.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataannya berkata, Al-Quds yang merupakan syarikat bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sebelum ini merupakan pemain industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Melalui rundingan pemadanan perniagaan antara kedua pihak ini bersama MAFI, Al-Quds Livestock telah ditawarkan peluang pemasaran 16 SKU produk daging tempatan di 12 stor Lotus’s Malaysia mulai 30 Ogos lalu," katanya pada Khamis.

Menurut MAFI, dengan kerjasama strategik itu, Al-Quds menjadi satu-satunya pengeluar dan pembekal daging tempatan di Lotus’s Malaysia.

"Bagi memastikan usahawan tempatan seperti Al-Quds berjaya meningkatkan penjualan produk mereka, Lotus’s Malaysia turut memberikan sokongan tambahan dari segi tunjuk ajar dalam pelaksanaan promosi dan penggunaan ramalan penjualan untuk merancang ketersediaan produk," katanya.

Kementerian itu berkata, setelah 12 tahun beroperasi, Al-Quds memutuskan untuk menerokai bidang baharu iaitu penternakan lembu dan pemprosesan daging segar melalui pewujudan Al-Quds Livestock demi kelangsungan perniagaan pada tahun 2020.

"Kini syarikat itu mempunyai ladang ternakan di Rantau Panjang, Kelantan dengan kapasiti maksima 2,000 ekor lembu," katanya.

Tambah MAFI, Al-Quds juga memilih dua outlet jualan iaitu di Kota Bharu, Kelantan dan di Bangi, Selangor untuk memasarkan 37 produk makanan sejuk beku yang terdiri daripada daging yang telah diproses dan 10 produk makanan sedia dimakan.

Artikel Berkaitan:

"MAFI komited untuk memperkukuh pasaran produk daging tempatan melalui kemudahan dan bimbingan teknikal yang disediakan oleh jabatan dan agensi serta

khidmat pemadanan pemasaran oleh kementerian.

"Usahawan yang berminat mendapatkan perkhidmatan ini dijemput menghubungi pejabat DVS negeri atau MAFI untuk maklumat lanjut," katanya.