Banjir kilat: Lebih 20 petani rugi tidak sempat tuai padi
BALING - Lebih 20 petani di Kampung Guar Chempedak dan Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil dianggarkan kerugian mencecah RM200,000 akibat padi ditanam mereka yang sudah masak ditenggelami air akibat banjir.
Petani, Md Rosdi Ahmad 48, dari Kampung Padang Kulim berkata, banjir kilat yang berlaku selepas hujan lebat sejak Rabu adalah paling buruk pernah dialami kerana membabitkan keluasan lebih 40 hektar bagi kedua-dua buah kampung.
"Padi sudah masak dan hanya menunggu masa untuk dituai dalam dua atau tiga hari lagi. Saya sudah sediakan mesin menuai tetapi pagi ini (Khamis) saya lihat padi sudah ditenggelami air," katanya.
Sementara itu, Ishak Samsudin, 42, berkata, sawah padi seluas kira-kira lima hektar yang diusahakannya di Kampung Guar Chempedak, Kuala Ketil, juga ditenggelami air.
"Bendang (sawah) dah jadi macam sungai kerana habis tenggelam sehingga ketinggian lebih satu meter. Saya jangka air banjir ini mengambil masa seminggu untuk surut. Jadi, padi mungkin menjadi hitam dan rosak," katanya.
Seorang lagi petani, Azahari Osman, 53, berkata, dia menyedari padi miliknya tenggelam selepas pergi ke sawah kira-kira jam 8 pagi untuk meninjau keadaan sawah susulan hujan lebat itu.
"Padi sudah matang dan tinggal beberapa hari sahaja untuk dituai. Saya tak tau nak cakap apa selepas melihat padi saya tenggelam dan anggap tiada rezeki saya kali ini," katanya.
Dia yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Padang Kulim berharap kerajaan melalui agensi berkaitan prihatin dengan nasib lebih 20 petani yang terlibat.
Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Ketil dan Pejabat Pertanian Daerah Baling selain laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Ketil untuk rujukan pihak berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!