DBKL tangguh larangan penjualan minuman keras
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang diumumkan sebelum ini ditangguhkan.
DBKL menerusi satu kenyataannya berkata, LMK yang diguna pakai berkuatkuasa pada 15 November 2020 menyatakan bermula 1 Oktober 2021 penjualan 'liquor' (arak) di kedai runcit, serbaneka, dan kedai ubat cina tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, DBKL berkata, larangan tersebut ditangguhkan bagi tempoh satu bulan mulai 1 Oktober 2021 sehingga 31 Oktober 2021.
“Penangguhan ini bertujuan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan 'liquor' di Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu pada Khamis.
DBKL berkata, kemudahdapatan dan aksesibiliti 'liquor' telah menjadi aduan dan bantahan, kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan orang ramai.
“Pada masa ini pemilik LMK runcit masih dibenarkan menjual minuman keras jenis 'liquor' di kedai runcit, serbaneka, dan kedai ubat Cina sehingga 31 Oktober 2021,” kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!