Kawasan tanah runtuh di Kemensah Height diklasifikasi zon bahaya
SHAH ALAM - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor mengklasifikasikan lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights yang melibatkan 19 buah kediaman townhouse sebagai zon bahaya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berikutan itu, tempoh diperlukan bagi menguruskan kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan cerun di lokasi berkenaan adalah dianggarkan sekitar satu hingga tiga bulan.
Amirudin berkata, penetapan itu dibuat selepas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) mendengar taklimat dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersama jabatan berkaitan pada Rabu berhubung tragedi yang berlaku itu.
"Proses pengukuhan tebing dan cerun melalui pembinaan tembok penahan kekal dianggarkan memakan belanja bernilai RM6 juta.
"Pegawai Daerah Gombak selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah akan memudahcara bersama pemilik-pemilik lot unit kediaman banglo terlibat bagi memuktamadkan pengendalian kos pengukuhan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor juga akan melakukan kerja-kerja penstabilan dan pengukuhan cerun tebing Sungai Kemensah dengan memasang sheet pile sepanjang 200 meter melibatkan kos RM1 juta.
Menurut beliau, kawasan runtuhan cerun terlibat telah ditutup dengan canvas sheet bagi menghalang air terus ke permukaan tanah.
"Kerja-kerja pemantauan pergerakan tanah akan terus dilaksanakan sehingga tiada lagi pergerakan dikesan.
"Tindakan segera bagi pelaksanaan kerja-kerja baik pulih aliran Sungai Kemensah dan lain-lain kerja berkaitan telah selesai dilaksanakan pada 19 September lalu dengan kos RM20,000," katanya.
Tambah Amirudin, kerajaan Selangor turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man atas kelulusan RM10 juta bagi melaksanakan pelan kerja berkaitan penstabilan cerun dan menaik taraf Sungai Kemensah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!