PNB umum agihan pendapatan tiga dana

Permodalan Nasional Bhd (PNB) - Foto Bernama
Permodalan Nasional Bhd (PNB) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM650.73 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2021 bagi tiga dananya.

Dalam kenyataan pada Khamis, PNB berkata, dana tersebut ialah Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3), ASN Equity 5 dan ASN Sara (Mixed Asset Conservative) 2 (ASN Sara 2).

Bagi ASM 3, PNB mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM593.04 juta yang memanfaatkan 525,038 pemegang unit dengan pegangan 14.83 bilion unit.

“ASM 3 mencatatkan pendapatan direalisasikan bersih sebanyak RM653.27 juta bagi tahun kewangan semasa, menunjukkan peningkatan sebanyak 17.87 peratus berbanding tahun lepas.

“Pulangan sebanyak 4.00 sen seunit ini kekal kompetitif dan mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12-bulan Maybank pada kadar 1.85 peratus sebanyak 215 mata asas bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, masing-masing mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 11.46 peratus dan 4.04 peratus untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2021, yang telah mengatasi penanda aras, masing-masing sebanyak 8.66 peratus dan 1.73 peratus.

“Pulangan ini ditanda aras berbanding Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan Deposit Tetap 12 bulan Maybank, pada nisbah yang disesuaikan untuk setiap dana,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, dengan pulangan ini ASNB mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM9.80 juta kepada pemegang unit ASN Equity 5, bersamaan dengan 2.85 sen seunit kepada 11,202 pemegang unit dengan pegangan 343.80 juta unit.

Artikel Berkaitan:

“Manakala pemegang unit ASN Sara 2 akan menerima jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM47.88 juta, bersamaan dengan 2.80 sen seunit kepada 42,860 pemegang unit dengan pegangan 1.71 bilion unit.

“Pulangan ini adalah bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 2.95 peratus untuk ASN Equity 5 dan 2.75 peratus untuk ASN Sara 2, berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 23 Sept 2021,” kata kenyataan itu.

Pengagihan pendapatan ini diperoleh daripada dana keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain daripada pelaburan tempatan dan antarabangsa yang secara amnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik secara beransur-ansur.

“Pendapatan daripada pelaburan antarabangsa meningkat secara ketara dengan sumbangan antara 32 peratus dan 73 peratus untuk dana masing-masing bagi tahun kewangan semasa,” kata kenyataan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!