Bangladesh digesa siasat kes bunuh ketua komuniti Rohingya
BANGKOK - Majlis Penasihat Khas untuk Myanmar (SAC-M) meminta pihak berkuasa Bangladesh menyiasat dengan terperinci pembunuhan seorang ketua komuniti Rohingya yang ditembak mati di sebuah kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh pada Rabu.
Dalam satu kenyataan, SAC-M dukacita dengan kematian Mohib Ullah, 46, di kem Lambashia, Kutupalong dan dalangnya mesti didakwa, diadili dan dihukum mengikut lunas undang-undang.
Kumpulan pakar antarabangsa bebas yang berkhidmat untuk menyokong rakyat Myanmar itu juga mendesak mekanisme hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memantau dan melaporkan mengenai keberkesanan siasatan oleh Bangladesh.
"Pihak berkuasa Bangladesh mempunyai kewajiban untuk melindungi nyawa sejuta pelarian Rohingya di kem di Bangladesh dan memastikan tragedi ini tidak dieksploitasi untuk mengenakan lebih banyak sekatan terhadap kehidupan mereka yang sudah cukup menderita," menurut SAC-M.
Mohib Ullah telah menubuhkan Arakan Rohingya Society for Peace and Human Rights (ARSPH), sebuah kumpulan hak asasi masyarakat yang mendokumentasi kekejaman dilakukan tentera Myanmar terhadap kumpulan itu ketika serangan 2017.
Mangsa ditembak ketika sedang berbual dengan ketua masyarakat lain di luar pejabatnya.
Media melaporkan sekurang-kurangnya empat penyerang tidak dikenali menembak Mohib Ullah pada Rabu malam dan pihak berkuasa Bangladesh kemudian bertindak menambah anggota polis di kem itu.
AFP melaporkan jurucakap polis Rafiqul Islam berkata, siasatan masih di peringkat awal dan belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Sementara itu, seorang anggota SAC-M Chris Sidoti berkata, kematian Mohib Ullah perlu mencetuskan lebih banyak sokongan antarabangsa dan tekad untuk memperjuangkan hak asasi manusia untuk Rohingya dan rakyat di Myanmar.
"Penghormatan paling bermakna dapat kita berikan kepadanya adalah tindakan lebih berkesan untuk mendapatkan keamanan serta keadilan bagi semua rakyat Myanmar," kata Sidoti dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pengasas dan anggota bersama SAC-M Yanghee Lee pula berkata, Mohib Ullah amat komited terhadap hak asasi manusia Rohingya.
“Saya mengenali Mohib Ullah sudah lama sejak bekerja sebagai Pelapor Khas PBB untuk hak asasi manusia di Myanmar.
"Dia seorang yang berani dan berwawasan, pemimpin yang sukar dicari ganti dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Rohingya," katanya.
Sementara itu, pengasas bersama dan anggota SAC-M, Marzuki Darusman berkata, Mohib Ullah banyak memberikan bantuan untuk siasatan FFM.
"Semangatnya secara langsung mencetuskan sokongan antarabangsa untuk rakyat Rohingya dan usaha membawa kepimpinan tentera ke muka pengadilan," katanya.
Pada 2017, tentera Myanmar melancarkan kempen keganasan genosid di kampung-kampung Rohingya di utara Rakhine, memaksa tiga perempat juta orang melarikan diri ke Bangladesh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!