Zaid Ibrahim, ZICO selesai pertikaian perundangan

Mohd Zaid
Mohd Zaid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyelesaikan dua tindakan undang-undang terhadap bekas rakan kongsinya di firma guaman Zaid Ibrahim & Co (ZICO).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Mohd Zaid dan bekas rakan kongsinya, Chew Seng Kok dan Datuk Seri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, mengatakan bahawa mereka telah menyelesaikan semua perkara yang memenuhi kehendak bersama.

"Dalam hal proses perundangan antara Mohd Zaid Ibrahim dan Zaid Ibrahim & Co dan yang lain, kami ingin mengumumkan bahawa semua pihak telah menyelesaikan semua perkara yang memenuhi kehendak bersama.

"Peguam telah diarahkan supaya menarik semua prosiding undang-undang,” kata mereka dalam kenyataan bersama pada Khamis yang turut mengharapkan yang terbaik untuk terus maju.

Sementara itu, peguam Mohd Zaid, Nizam Bashir mengesahkan kepada Bernama bahawa anak guamnya telah menyelesaikan dua tindakan undang-undang terhadap bekas rakan kongsinya serta ZICO dan akan menarik balik tuntutan di Mahkamah Tinggi.

Pada 24 November tahun lepas, Mohd Zaid memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan terhadap ZICO bagi menghalang firma itu daripada terus menggunakan namanya dalam amalan guaman dan mahu nama firma tersebut dikembalikan kepada beliau selain injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menggunakan namanya dalam sebarang bentuk atau gaya sebagai nama firma tersebut.

Mohd Zaid memfailkan saman pemula pada 18 Disember tahun lepas, menamakan Seng Kok, yang merupakan pengarah urusan ZICO Holdings Inc (syarikat Singapura), pengarah eksekutif firma guaman Nik Norzrul dan ZICO sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Mohd Zaid mendakwa pada 2014, defendan melaksanakan tindakan untuk mengeksploitasi jenama 'ZICO' dengan mendirikan suatu syarikat berasingan yang diperbadankan di Singapura dan dikenali sebagai ZICO Holdings Inc yang mengambil alih bahagian operasi penting untuk firma itu bagi suatu balasan yang mana defendan pertama menjadi pemegang syer terbesar di dalam ZICO Holdings Inc.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, Mohd Zaid memohon defendan-defendan menzahirkan dokumen yang diperlukan plaintif untuk membuat tuntutannya berdasarkan kausa-kausa tindakan dalam kontrak, tort dan pecah amanah terhadap kesemua defendan dan memohon remedi yang wajar seperti injunksi berkekalan untuk menghalang firma itu daripada terus menggunakan namanya sebagai nama amalan guaman dan relif lain. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!