AFC buat persiapan hadapi fasa endemik

Hamidin
Hamidin
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) pada Khamis membincangkan proses memuktamadkan belanjawan bagi 2021/2022 sebagai persediaan berdepan transisi ke fasa endemik Covid-19.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC bagi penggal 2019-2023, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata,industri bola sepak Asia sedang bersiap siaga ke arah fasa endemik yang dijangka mengembalikan keadaan normal menjelang 2023.

Beliau yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, rantaian Covid-19 sememangnya sukar untuk diputuskan sepenuhnya dan negara Asia termasuk Malaysia perlu menyesuaikan diri untuk 'hidup bersama' virus, selaras langkah yang disaran kebanyakan negara.

“Industri bola sepak Asia sememangnya komited dalam membuka sektor sukan ini dengan selamat sekalipun akan tetap berdepan cabaran besar. Berdasarkan senario semasa, AFC akan bersedia dalam persiapan bajet serta tajaan untuk berdepan musim ini serta akan datang.

“AFC akan terus bersama dengan ahli gabungan terutama negara yang terjejas teruk dengan memberi sokongan yang diperlukan terutama dari segi bantuan dana atau kewangan,” kata Hamidin menerusi hantaran di Facebook rasmi FAM, pada Khamis.

Menurut hantaran itu Hamidin menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan AFC kali keempat dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Mariano V. Araneta Jr yang diadakan secara maya pada Khamis.

Hamidin berkata, mesyuarat itu turut membincangkan perbelanjaan muktamad dan perkembangan prestasi penaja serta pelan agihan kewangan pusingan akhir Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2022.

“Kita perlu kekalkan perpaduan dan solidariti untuk memastikan kelangsungan bola sepak terutama dalam usaha menyaksikannya kembali normal pada fasa endemik. AFC dan ahli gabungan akan saling menyokong antara satu sama lain ketika berdepan situasi ketidaktentuan ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!