Konflik Pakistan-India: 44 rakyat kita masih terkandasdi Pakistan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 44 rakyat Malaysia yang masih terkandas di Pakistan sejak 27 Februari lalu susulan penutupan ruang udara negara itu, dijangka meninggalkan Pakistan menjelang hujung minggu ini.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad (STMI) dalam perkongsiannya di laman sosial Facebook berkata, daripada 85 yang terkandas seramai 41 telah kembali ke tanah air secara berperingkat mulai Sabtu lepas, melalui Islamabad dan Karachi dengan transit di Abu Dhabi, Doha, Dubai serta Jeddah.

Pakistan menutup ruang udaranya berikutan ketegangan dengan India ekoran insiden ketenteraan di sempadan kedua-dua negara itu. Ruang udara Pakistan dibuka sepenuhnya pada Isnin (4 Mac).

Bagaimanapun penerbangan harian Malindo Air (Kuala Lumpur - Lahore - Kuala Lumpur) masih belum beroperasi, jelas STMI.

"Ia berikutan larangan pihak berkuasa sebuah negara jiran Pakistan ke atas mana-mana syarikat penerbangan menggunakan ruang udaranya menuju ke Pakistan dan sebaliknya untuk satu tempoh tidak ditetapkan.

"Larangan ini turut menjejaskan penerbangan Thai Airways dari Kuala Lumpur (menerusi Bangkok) ke Lahore, Islamabad dan Karachi," menurut perkongsian itu.

STMI juga mengingatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan yang "non-essential" ke Pakistan sehingga keadaan kembali pulih, selain mengambil kira kemungkinan ruang udara negara terbabit ditutup semula sekiranya ketegangan kembali memuncak.

Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan pejabat STMI diminta segera berbuat demikian bagi memudahkan bantuan dan khidmat konsular disalurkan dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang berada di Islamabad, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Punjab, Azad Jammu dan Kashmir, dan Gilgit Baltistan boleh berhubung dengan Pegawai Bertugas STMI menerusi talian +923028443021 atau emel mwislamabad@kln.gov.my.

Sementara itu, bagi wilayah Balochistan dan Sindh boleh menghubungi Pegawai Bertugas Konsulat Jeneral Malaysia di Karachi menerusi talian +923000702823 atau emel mwkarachi@kln.gov.my untuk sebarang pertanyaan atau bantuan.

Ketegangan di antara New Delhi dan Islamabad yang kedua-duanya merupakan kuasa nuklear, kian meruncing sejak serangan pengganas Jaish-e-Mohammed (JeM) di Pulwana, India pada 14 Feb lalu, mengorbankan lebih 40 orang serta mencederakan puluhan lagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!