Anak muda tentukan siapa jadi kerajaan
SHAH ALAM - Pengundi 18 tahun bakal menjadi kuasa penentu kepada calon, parti atau gabungan yang akan dipilih untuk memenangi pilihan raya dan seterusnya membentuk kerajaan yang memerintah.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, walaupun hanya sembilan peratus pengundi anak muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi jumlah tersebut boleh menjadi penentu kemenangan mana-mana pihak.
“Inilah yang dikatakan king maker, walaupun kecil tetapi impaknya besar kepada keputusan PRU15 akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.
Rabu lalu, seramai 5.8 juta bakal pemilih berusia 18 tahun ke atas diseru membuat Semakan Prapendaftaran Pemilih Automatik selama sebulan mulai 1 Oktober ini.
Pada 7 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah diarah bersiap sedia untuk melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember ini seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu.
Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, anak muda merupakan golongan yang sangat sensitif tentang isu semasa, hak dan kepentingan rakyat.
Jelasnya, mereka lebih celik mengenai sebarang maklumat yang diperoleh untuk membentuk masa depan negara.
“Mereka akan memilih calon atas faktor faktor usia, kepentingan dan mahukan satu perubahan yang selari dengan kehendak mereka.
“Anak muda mahu kepentingan mereka diberi perhatian serius oleh kerajaan antaranya, peluang kerja, kediaman mampu milik serta kehidupan yang tidak tertekan akibat pelbagai masalah.
“Mereka sekarang terbeban dengan hutang dan peluang pekerjaan terhad,” ujarnya.
Mohammad Tawfik menambah, anak muda khususnya pengundi 18 tahun perlu bersedia dengan pendidikan demokrasi dan politik bagi memastikan mereka matang ketika mengundi dalam PRU15 akan datang.
“Mereka tidak boleh beremosi dalam menentukan pilihan mereka kerana ini melibatkan masa depan negara.
“Saya yakin mereka mampu membuat pilihan yang terbaik kerana akhirnya pengundi 18 tahun juga yang akan mewarisi pentadbiran negara kelak,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!