Penalti ragut kemenangan The Red Warriors

Sebahagian aksi perlawanan ketika The Red Warriors menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Khamis. - Foto Facebook TRW
Sebahagian aksi perlawanan ketika The Red Warriors menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Khamis. - Foto Facebook TRW
A
A
A

JARINGAN penyamaan Sabah FC menerusi sepakan penalti pada minit ke-80, sepuluh minit sebelum perlawanan berakhir ‘meragut’ kemenangan The Red Warriors, kata Penolong Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahaya.

Selepas Kelantan FC sekadar meraih satu mata pada aksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Khamis, Rezal Zambery turut mengakui pemainnya melakukan kesilapan apabila menghadiahkan sepakan penalti ketika pasukannya itu dilihat sudah boleh meraih tiga mata penuh.

"Dua gol penalti menghalang kami untuk menang hari ini (semalam), kita akan melihat video kesilapan-kesilapan itu untuk dijadikan pengajaran bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

"Pemain saya juga nyata kecewa apabila mereka hanya mampu meraih satu mata di tempat sendiri, mungkin ia bukan rezeki kami untuk menewaskan Sabah FC," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu, malam Khamis.

Dua gol Sabah terhasil daripada sepakan penalti yang tenang disempurnakan kapten pasukan, Risto Mitrevski pada minit ke-32 dan minit ke-80 sementara Kelantan FC memperoleh jaringan hasil sentuhan, Natanael Siringo Ringo pada minit ke-39 dan pemain gantian, Muhammad Haziq Mohd Subri pada minit ke-70.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC, Burhan Ajui berkata, mereka berpuas hati dapat meraih satu mata pada perlawanan itu bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D.

"Sememangnya apabila bertandang ke Kelantan sasaran kita adalah menang. Kita gagal mendapat tiga mata penuh, mungkin disebabkan faktor keletihan pemain yang terpaksa menghadapi jadual perlawanan yang padat dan perjalanan jauh," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!