Vaksin Covid-19 tiada kaitan agenda Yahudi
PASIR PUTEH – Tindakan sesetengah masyarakat mendakwa vaksin Covid-19 mempunyai kaitan dengan agenda yahudi adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kenyataan tersebut adalah tidak berasas dan direka tanpa sebab yang kukuh.
Menurutnya, masyarakat seharusnya lebih bijak menilai yang mana baik dan buruk memandangkan vaksinasi adalah jalan terbaik ketika ini untuk melawan dan mencegah daripada penularan wabak berkenaan.
“Kita tengok sendiri lebih 90 peratus kematian sebab Covid-19 adalah melibatkan mereka yang tidak divaksin. Apa yang kerajaan lakukan sekarang ialah untuk menyelamatkan kita semua, berikhtiar membendung pandemik ini.
“Vaksinasi satu-satunya jalan yang kita ada setakat ini, sebab itu saya menyeru semua keluar ambil vaksinasi masing-masing.
"Kita sebagai sebuah keluarga Malaysia yang besar, jangan jadi pembawa kepada wabak ini, putuskan rangkaian ini dengan diri kita sendiri,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Nik Zawawi sebelum itu meninjau Program Vaksinasi barisan hadapan industri Agromakanan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, Pasir Puteh di sini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, lebih 27,000 rakyat di negeri ini mengisytiharkan tidak mahu menerima suntikan vaksin Covid-19, sehingga Rabu lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin memaklumkan, daripada jumlah tersebut, lebih 9,000 merupakan individu antivaksin yang benar-benar menolak suntikan tersebut manakala angka selebihnya pula adalah mereka yang menolak vaksin kerana masalah kesihatan serta mempunyai penyakit.
Lebih 9,000 orang yang enggan divaksin itu juga didakwa memberi pelbagai alasan, antaranya mendakwa vaksin adalah agenda Yahudi dan berbahaya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Nik Zawawi ketika ditanya mengenai vaksinasi melibatkan pemain industri agromakanan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sendiri, beliau memberitahu, sehingga kini kementerian itu sudah mencapai sasaran sebagaimana yang kerajaan tetapkan melibatkan sektor berkenaan.
Katanya, walaupun ada antara penggerak industri berkenaan yang bersikap antivaksin, namun ia adalah sangat terpencil berbanding sebelum ini.
“Kita tidak nafikan ada yang antivaksin namun ia terpencil. Kita ambil pelbagai pendekatan dan beri nasihat, berdialog dengan mereka supaya mereka faham. Saya sendiri pun jumpa beberapa orang antara mereka. Kita tanya dan kita berikan fakta sahih. Alhamdulilah mereka terima dengan baik.
“Cuma kadang-kadang rakyat kita ini tidak mendapat info yang baik, bukan kerana info tidak datang dari kerajaan. Namun mereka yang tidak bergaul dengan orang, tidak berkawan dan jauh dari segala maklumat, tapi jumlah (anti vaksin) ini sikit saja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!