Ibu kecewa insiden anak rebah dikaitkan dengan vaksin
MELAKA - Seorang wanita menafikan dakwaan tular bahawa anaknya rebah akibat kesan sampingan selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Klebang di sini pada Khamis.
Ulfah Amat Daris, 41, berkata, keluarganya kecewa apabila insiden membabitkan anak bongsunya, Muhammad Azim Hassan, 13, yang tiba-tiba rebah ketika berada di pusat pemberian vaksin (PPV) Encore, Klebang tular di media sosial.
Dia berkata, kejadian itu berlaku kemungkinan disebabkan anaknya gementar ketika menerima suntikan tersebut.
Menurutnya, sebelum kejadian, Muhammad Azim sempat bersarapan sebelum dia dan suami membawa anaknya itu ke PPV tersebut.
Malah, katanya, anaknya begitu teruja untuk ke PPV dan tidur awal pada malam sebelum kejadian.
"Adik-beradiknya yang lain sudah menerima suntikan vaksin lebih awal. Jadi dia teruja dan tiada masalah mengambil vaksin.
"Azim bagaimanapun hampir rebah ketika sedang berjalan di ruang tempat letak kereta sehingga terpaksa meminta pertolongan anggota bertugas," katanya selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali di kediamannya di Kampung Bukit Duyong di sini pada Jumaat.
Ulfah berkata, dia sekeluarga kecewa kerana ada pihak yang mensensasikan insiden anaknya rebah kononnya akibat kesan sampingan suntikan pertama vaksin Covid-19.
"Sebagai ibu memang saya kecewa dengan penyebaran berita tidak benar itu. Ada yang kata anak saya tak cukup tidur.
"Lebih mengecewakan apabila ada yang menyebarkan berita kononnya anak saya sudah meninggal dunia. Sampai anak saya malu dengan cerita tidak benar itu," katanya.
Pada Khamis, tular video berdurasi 36 saat di Facebook yang memaparkan seorang remaja rebah dan terpaksa dipapah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang awam selepas menerima suntikan vaksin di PPV Encore, Klebang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!