KPDNHEP terima 350 aduan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan

KPDNHEP menerima 350 aduan berkaitan penjualan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. - Gambar hiasan
KPDNHEP menerima 350 aduan berkaitan penjualan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 350 aduan berkaitan penjualan barangan kawalan melebihi harga ditetapkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, aduan paling tinggi membabitkan minyak masak dengan 172 aduan, diikuti gas petroleum cecair (111), gula (28), kit ujian Covid-19 (17) dan masing-masing 11 aduan untuk pelitup muka dan tepung.

"Penguat kuasa KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang melanggar garis panduan dan syarat serta harga," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, peniaga yang menjual melebihi harga kawalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu.

Sementara itu bagi syarikat katanya, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Azman berkata, barang keperluan seperti gula pasir putih bertapis kasar dan halus, tepung gandum serba guna, minyak masak, gas petroleum cecair, pelitup muka dan kit ujian pantas antigen Covid-19, telah ditetapkan harga jualannya di semua jenis kedai dan platform perniagaan termasuk dalam talian.

"Ia bagi memastikan rakyat dapat menikmati barang keperluan pada harga terkawal dan sekali gus tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini," katanya menambah bahawa harga yang ditetapkan itu tidak termasuk caj penghantaran.

Pengguna digalakkan membuat aduan terus kepada KPDNHEP dengan memberi maklumat lengkap mengenai barang berserta tanda harga dan lokasi premis atau platform, menerusi pelbagai saluran yang disediakan seperti Whatsapp 019-279 4317; Mobileapps Ez ADU KPDNHEP; portal e-aduan.kpdnhep; pusat panggilan 1-800-886-800; e-mel di e-aduan@kpdnhep.gov.my atau melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!