Mayat rentung ditemui dalam kereta terbakar
KLANG - Mayat rentung ditemui dalam sebuah kereta yang terbakar di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Perepat dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 10 pagi.
"Sepasukan anggota polis bersama unit forensik dan unit anjing pengesan (K9) serta unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Kancil itu hangus terbakar, manakala satu mayat ditemui di bahagian tempat duduk belakang telah terbakar kira-kira 90 peratus.
"Kejadian dipercayai berlaku lebih kurang dua atau tiga hari lalu berdasarkan ulat yang terdapat pada mayat tersebut," jelasnya.
Beliau berkata, siasatan mendapati kereta tersebut milik seorang wanita tempatan yang tinggal di sekitar Klang.
"Wanita itu memaklumkan bahawa kereta tersebut dipandu oleh bapanya yang keluar dari rumah sejak seminggu lalu. Wanita itu ada membuat satu laporan polis kerana bapanya tidak pulang ke rumah," katanya.
Vijaya Rao berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh pihaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!