Wartawan teruja lihat aksi 'dolphin' di perairan Pulau Tenggol
DUNGUN - Sekumpulan wartawan dari Terengganu teruja apabila terserempak dengan sekumpulan ikan lumba-lumba atau 'dolphin'yang berenang berhampiran bot dinaiki ketika dalam perjalanan menuju ke lokasi tugasan di Pulau Tenggol, di sini pada Khamis.
Mamalia marin itu dilihat berenang dan muncul di permukaan air dalam tempoh lima minit sekitar jam 11.30 pagi.
Wartawan Sin Chew Jit Poh, Lew I Ling berkata, dia bersama kumpulan media lain dalam perjalanan dari jeti di Dungun ke Pulau Tenggol ketika terserempak dengan kumpulan ikan lumba-lumba berkenaan.
Katanya, dia tidak menyangka perjalanan ditempuh untuk ke lokasi tugasan menjadi pengalaman manis kerana pertama kali terserempak dan dapat melihat secara lebih dekat aksi sekumpulan ikan lumba-lumba berenang berhampiran bot yang dinaiki.
"Saya tidak pernah berpengalaman menyaksikan spesies hidupan mamalia marin muncul di permukaan laut. Saya begitu teruja dan sempat merakam video aksi ia berenang.
"Dianggarkan kumpulan mamalia laut itu muncul dan berenang berhampiran bot yang kami naiki sekitar lima minit sebelum berenang ke dasar lautan," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.
I Ling bersama lapan wartawan lain menyertai program Jom Ke Pulau Tenggol - Melawat Terengganu 2021 oleh Terengganu Coral Beach Resort sebagai usaha memperkenalkan pulau di pesisir pantai Terengganu yang cukup istimewa untuk dikunjungi.
Dalam pada itu, I Ling berkata, menurut pihak resort, kumpulan ikan lumba-lumba biasanya ditemui di sekitar kawasan itu namun bergantung kepada nasib.
"Difahamkan spesies ikan lumba-lumba sudah menjadi kebiasaan muncul di kawasan ini namun tidak semua berpeluang untuk melihat sendiri ia berenang pada jarak dekat.
"Kalau bernasib baik, mereka yang berkunjung ke sini berpeluang melihat sendiri haiwan itu berenang dan timbul di permukaan air berhampiran kawasan ini," katanya.
Untuk rekod, ikan lumba-lumba merupakan spesies mamalia marin yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!