86 pasukan pantau lokasi tumpuan Pulau Pinang
GEORGETOWN - Sebanyak 86 pasukan pemantau yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibantu agensi penguatkuasa lain ditugaskan untuk menjalankan pemantauan di semua lokasi tumpuan di negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, skuad pemantau tersebut berperanan untuk memastikan orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas kelonggaran yang diberikan.
"Pasukan ini akan memantau lokasi tumpuan antaranya pasar raya, hotel, kawasan peranginan dan pantai. Ia akan diketuai oleh polis dengan bantuan agensi lain antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain.
"Sebenarnya kita sudah laksana pemantauan secara berkala ini di lokasi tumpuan, cuma kita akan menambah lagi anggota dan meningkatkan pemantauan bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya ketika meninjau pelaksanaan SOP di Hotel Rasa Sayang di Batu Feringghi di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, sehingga kini, tiada kluster dari lokasi tumpuan dicatatkan di negeri ini.
Mengulas mengenai pengurangan sekatan jalan raya (SJR) sedia ada di negeri ini, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sedang menunggu arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu.
"Buat masa ini, Pulau Pinang masih mempunyai 36 SJR dan kita sedang menunggu keputusan dasar daripada MKN berhubung pengurangan SJR. Jika dapat arahan, kita akan buat perkara sama seperti di Kuala Lumpur.
"Jika SJR dikurangkan, anggota yang terlibat (dengan SJR) akan ditempatkan dalam skuad pemantau bagi menambah keanggotaan untuk membuat pemantauan di premis-premis tumpuan," katanya.
Beliau menambah, tiada anggota polis yang akan ditempatkan di hotel-hotel di negeri ini sebaliknya hanya pemantauan berkala saja akan dilaksanakan.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 62 anggota polis telah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh dua minggu lalu dan dalam tempoh yang sama, kira-kira 108 anggota pula menjalani kuarantin.
"Punca jangkitan dalam kalangan anggota adalah disebabkan pelbagai faktor, ada yang mendapatnya daripada ahli keluarga dan lain-lain faktor.
"Semalam adalah rekod pertama kalinya dalam tempoh sebulan tidak ada sebarang kes positif Covid-19 dalam kalangan anggota kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!