JAS siasat tiga individu didakwa buang sisa di Sungai Kinta
IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak akan menyiasat tindakan tiga individu yang didakwa melakukan pencemaran dengan membuang 'sisa' ke Sungai Kinta, di sini pada Khamis.
Pengarahnya, Rosli Zul berkata, satu laporan polis akan dibuat bagi mengesan mereka yang terlibat untuk tindakan lanjut.
"JAS akan cari pemilik kereta berkenaan sebagaimana yang dikongsikan dalam video tular terbabit.
"Kita akan mengesan pelakunya bagi mengetahui buangan apa yang dilepaskan ketika kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurutnya, persampelan air akan diambil bagi mengetahui kualiti air sungai terbabit dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Tindakan tiga individu yang dipercayai membuang sesuatu ke Sungai Kinta di Jalan Sultan Iskandar, di sini mendapat kecaman warganet.
Video berdurasi 44 saat itu mula tular apabila dikongsi pelayar laman sosial Facebook dan Twitter mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Mereka didapati membuang sesuatu seperti cecair daripada beberapa tong plastik berwarna biru sebelum kesemuanya beredar menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tebing sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!