Bekas penolong jurutera ditahan SPRM

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang bekas penolong jurutera mekanikal kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram lebih RM180,000.

SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan, hasil siasatan mendapati suspek telah melibatkan diri dalam transaksi penggunaan wang hasil daripada aktiviti haram bagi tujuan pelbagai perbelanjaan untuk pengubahsuaian rumahnya.

Terdahulu, suspek telah dituduh pada Oktober 2018 di Mahkamah Seksyen 1 Melaka di bawah kesalahan seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan iaitu wang tunai dan barangan pembinaan rumah berjumlah hampir RM500,000 daripada kontraktor sebagai upah membantu mendapatkan kerja-kerja di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar.

Suspek lelaki berusia 44 tahun itu telah ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 11 pagi kelmarin bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!