Aktiviti imarah masjid, surau di Sarawak dibenar mulai Isnin
KUCHING - Semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau di Sarawak antaranya pengajian, kuliah, ceramah, kursus dan bengkel adalah dibenarkan dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semasa dan penjarakan fizikal satu meter bemula 4 Oktober ini (Isnin).
Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataan pada Jumaat bagaimanapun berkata, kebenaran itu tidak termasuk mana-mana aktiviti melibatkan sentuhan fizikal seperti praktikal pengurusan jenazah tanpa alas.
“Hanya jemaah dan petugas yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenarkan menghadiri aktiviti pengimarahan di masjid atau surau, selain pengurusan dan pengebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 serta ziarah kubur dibenarkan mengikut SOP Covid-19 semasa,” kata kenyataan itu.
Aktiviti solat Jumaat, fardu dan sunat dibenarkan di Masjid Jamek Negeri, semua masjid bahagian, daerah, daerah kecil, kariah dan surau dengan mengambil kira keluasan ruang solat bagi membolehkan jemaahnya mempraktikkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
“Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah menggunakan pelitup muka sepanjang masa, mengimbas suhu badan, mendaftar kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau buku rekod, membawa sejadah atau alas sujud sendiri, berwuduk di rumah, tidak bersesak ketika masuk dan keluar dan tidak bersalaman.
“Sebarang bentuk jamuan tidak dibenarkan kecuali makanan berbungkus untuk dibawa balik dan mana-mana individu yang masih dalam tempoh notis kuarantin Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan serta berisiko mempunyai gejala dilarang menghadiri aktiviti di masjid dan surau,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!