Banduan di Thailand diberi peluang bekerja
BANGKOK - Kira-kira 74,000 banduan di Thailand yang disabitkan dengan kesalahan kecil akan diberi cuti sementara untuk bekerja di luar, dengan memakai gelang elektronik bagi mengurangkan kesesakan di penjara.
Menteri Kehakiman, Somsak Thepsutin berkata, banduan itu akan bekerja di taman perindustrian Jabatan Penjara Thailand.
"Pada peringkat awal kira-kira 16,000 daripada 74,000 banduan bekerja di taman itu. Mereka akan menerima gaji harian 331 baht (RM44.70),” katanya.
Buat masa ini dianggarkan kira-kira 280,000 hingga 300,000 banduan berada di 143 penjara di seluruh negara. Lebih 80 peratus adalah terdiri pesalah narkotik.
Somsak berkata, Jabatan Penjara bekerjasama dengan pihak swasta untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pertanian, ternakan dan astrologi di kawasan perindustrian untuk mengelakkan mereka melakukan jenayah setelah dibebaskan.
Pada Mei tahun ini, ribuan banduan di dua penjara utama Bangkok - Bangkok Remand Prison dan Central Women’s Correctional Institution dijangkiti Covid-19.
Media tempatan melaporkan sehingga kini lebih 10,000 kes Covid-19 dikesan di penjara di seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!