Fumio Kishida perkenal barisan eksekutif baharu LDP
TOKYO - Fumio Kishida, Presiden baharu Parti Demokratik Liberal (LDP) pada Jumaat memperkenalkan barisan anggota eksekutif baharu parti itu, lapor Xinhua.
Kishida yang dijangka dilantik sebagai perdana menteri baharu pada sidang luar biasa Parlimen pada Isnin berkata, barisan anggota eksekutif kali ini menampilkan ahli Parlimen muda dan juga veteran.
Menurut media tempatan, kebanyakan yang dilantik itu terdiri sekutu bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, termasuk Setiausaha Agung Akira Amari, 72, dan ketua polis Sanae Takaichi, 60, lapor Xinhua.
Amari, Ahli Parlimen veteran dan pernah memegang beberapa jawatan Kabinet, mengundurkan diri sebagai menteri ekonomi dan fiskal pada Januari 2016 kerana tuduhan rasuah melibatkan lebih 14 juta yen (AS$126,000).
Menurut parti pembangkang mereka akan mewujudkan satu pasukan khas untuk menyiasat semula tuduhan tersebut.
Amari adalah sebahagian daripada trio 3A, termasuk Abe dan Menteri Kewangan Taro Aso, yang dilantik sebagai naib presiden LDP.
Takaichi, yang berhasrat menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun tetapi tewas semasa pemilihan juga adalah sekutu rapat Abe. Beliau dilantik menerajui Majlis Penyelidikan Dasar yang bertanggungjawab merangka dan mengendalikan hal berkaitan kempen untuk pilihan raya umum.
Tatsuo Fukuda, 54, pula bakal mengetuai Majlis Umum. Ayahnya, Yasuo Fukuda dan datuknya, mendiang Takeo Fukuda, kedua-duanya pernah menjadi perdana menteri.
Toshiaki Endo, 71, dilantik sebagai ketua Jawatankuasa Strategi Pemilihan manakala Taro Kono, 58, menjadi ketua di Ibu Pejabat Perhubungan Awam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!