Chelsea tak rela tewas lagi
CHELSEA memerlukan kemenangan ke atas Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu untuk kembali meningkatkan motivasi pasukan.
Pemain tengah Chelsea, Ruben Loftus Cheek berkata, pasukannya itu perlu segera melakukan kebangkitan selepas tewas kepada Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara sekali gus memastikan The Blues kembali berada di landasan kemenangan.
"Kami perlu memberikan tindak balas terhadap kekalahan ini, mencari kelemahan yang perlu diperbaiki dan kembali bangkit. Sekarang ini adalah mengenai permainan mental dan kami perlu menang dalam aksi EPL menentang Southampton.
"Kami perlu melalui situasi ketika pasukan tidak berada pada tahap terbaik dan kami perlu melihat ini sebagai satu halangan yang perlu ditempuhi dengan positif," katanya.
Skuad kendalian Thomas Tuchel itu telah tewas dalam dua perlawanan berturut-turut iaitu tunduk kepada Manchester City 0-1 dalam saingan EPL dan terpaksa akur kepada Juventus juga dengan jumlah jaringan sama dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara.
Ia sekali gus mencalarkan status Chelsea sebagai Juara Eropah selain memberikan kesan kepada motivasi pemain selepas dua kekalahan berturut-turut itu.
Dalam pada itu, Loftus Cheek mengakui Chelsea dilanda masalah ketumpulan jentera serangan terutama beberapa peluanmg terbaik yang gagal dimanfaatkan dalam perlawanan menentang Juventus.
"Dengan penguasaan bola yang kami ada, kami sepatutnya mencipta lebih banyak peluang dan lebih berbahaya dalam kotak penatli lawan.
"Kami mempunyai beberapa peluang di penghujung perlawanan, tetapi jika anda tidak berada pada kualiti terbaik, maka pasukan tidak akan menang. Kami perlu kembvali tajam dalam perlawanan menentang Southampton," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!