Segera turunkan harga siling kit ujian kendiri

Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan pengurangan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 perlu disegerakan berikutan penggunaan alat peranti kesihatan itu akan menjadi sebahagian daripada keperluan penting dalam negara menuju fasa endemik, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Lam Thye berkata, penurunan harga itu penting bagi membantu golongan B40 dan M40 kerana proses ujian berkenaan akan menjadi satu daripada syarat utama kepada pelbagai urusan atau aktiviti.

"Harga kit tak sepatutnya lebih daripada RM10. Saya berpendapat kit ujian ini harus diberikan secara percuma, memandangkan selepas kita sudah masuk fasa endamik, ini bererti ujian sepatutnya dilakukan dengan lebih kerap misalnya dua kali seminggu untuk menilai aspek kesihatan seseorang individu itu.

"Kit ujian jadi norma baharu, tapi kalau kerajaan tak mampu tanggung (untuk beri percuma), kita harus sediakan kit ujian dengan harga minimum supaya orang ramai beli untuk lakukan ujian. Ini dianggap sebagai kawalan kendiri demi melindungi diri dan semua," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Lam Thye berkata, bagi memudahkan orang ramai memahami cara penggunaan kit itu, beliau menyarankan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan kerjasama agensi lain memainkan peranan menghebahkan pesanan khidmat masyarakat mengenai prosedur menggunakan kit ujian itu.

Selain itu, beliau berkata, pihak pengilang dan pengeluar juga perlu menyediakan arahan penggunaan dalam pelbagai bahasa untuk kemudahan pengguna terutama warga emas.

"Lebih baik kerajaan melalui KKMM dan jabatan lain untuk paparkan dari masa ke masa dan buat hebahan secara meluas, siarkan di televisyen. Televisyen mustahak sebab ramai yang menontonnya jadi boleh luangkan masa seminit atau dua minit.

"Pengeluar juga mesti bertanggungjawab menerangkan bagaimana untuk menggunakannya dan perlu diberitahu dalam pelbagai bahasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, sekiranya kerajaan mahu menurunkan harga siling kit ujian kendiri, ia perlu dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal sebelum tarikh pelaksanaan bagi memudahkan urusan pihak pengeluar dan pengimport.

Beliau berkata, rundingan untuk menurunkan harga alat peranti kesihatan itu sepatutnya dilakukan sejak awal lagi kit ujian itu diperkenalkan.

"Pada dasarnya, elok kalau boleh diturunkan (harga), tetapi kerajaan perlu buat satu polisi untuk pengeluar dan pengimport. Namun, kita kena adil, kalau terlampau kurang sangat (harga kit ujian), tiada pulangan pelaburan - siapa mahu import?" katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!