'Maaf, saya tidak mahu komen'
MELAKA - Perubahan corak pimpinan negeri atau peralihan kuasa merupakan adat dalam dunia politik dan tidak mustahil akan berlaku, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Sulaiman berkata, perubahan landskap politik sesebuah kerajaan akan terjadi apabila tiba waktunya.
Beliau sehubungan itu enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung dakwaan pergolakan dalam kerajaan negeri Melaka ketika ini.
"Maaf, saya tidak mahu komen. Bagi saya ini perkara biasa dalam dunia politik. Perubahan pasti akan berlaku apabila tiba waktunya nanti," katanya dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Khabar angin bertiup kencang berhubung empat wakil rakyat di Melaka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang tidak lagi mahu seiring dengan kerajaan di bawah pimpinan Sulaiman.
Norhizam bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menganggap desas-desus berkenaan kemungkinan ditimbulkan pihak yang tidak senang dengan kerajinannya sering turun padang bertemu rakyat.
"Semua boleh cakap, biarlah orang bercakap. Terpulanglah mulut masing-masing, " kata Norhizam.
Media sebelum ini melaporkan desas-desus kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO akan tumbang berikutan empat ADUN kerajaan didakwa akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) selain telah menandatangani akuan bersumpah (SD).
Sulaiman yang juga ADUN Lendu dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas kejatuhan kerajaan PH pada Mac tahun lalu.
Kerajaan negeri kini mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding pembangkang sebanyak 11 kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!