Manfaat Perkeso: Ketua kampung, pegawai daerah perlu main peranan
KOTA KINABALU - Ketua kampung dan pegawai daerah di setiap kawasan perlu memainkan peranan dan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan dan Sosial (Perkeso) Sabah dalam memberi penerangan tentang manfaat program di bawah agensi itu kepada penduduk.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Shahelmey Yahya berkata, Perkeso bergerak selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang ingin memastikan kebajikan rakyat di negara ini khususnya di Sabah terpelihara.
"Ketika kita mengharungi pandemik Covid-19 ini, Perkeso tidak ketinggalan membantu kebajikan golongan pekerja yang terkesan oleh pandemik. Ini merupakan satu inisiatif atau program kebajikan yang amat bermakna sekali kepada mereka yang terkesan," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Jubli Emas 50 tahun Perkeso di Wisma Perkeso di sini pada Jumaat.
Beliau seterusnya berharap agar bantuan Perkeso disesuaikan dengan perkembangan semasa supaya perkhidmatan agensi itu terus relevan dalam usaha memberi perlindungan kepada pekerja.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Sabah, Dr Mohd Ali Hindia berkata, pihaknya telah menyalurkan lebih RM1 billion kepada rakyat negeri ini menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sejak berlaku pandemik Covid-19.
Katanya, jumlah itu termasuk subsidi upah, insentif pengambilan pekerja, geran caruman kepada mereka yang bekerja sendiri, selain bantuan menerusi pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) 1.0 tahun lepas sehingga April tahun ini.
Pada majlis itu, Perkeso turut menyampaikan penghargaan berbentuk plat kepada organisasi media cetak dan elektronik antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Daily Express, serta agensi kerajaan iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!