Melaka bakal bertukar tangan?

Norhizam
Norhizam
A
A
A

AYER KEROH - Angin politik di Melaka kini mula bertiup kencang selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).

Senario itu sekali gus bakal menyaksikan Melaka yang sebelum ini pernah dipimpin PH selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lalu akan kembali bertukar tangan.

Antara yang disebut termasuk ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dikatakan akan ‘berpatah balik’ menyokong kepimpinan PH.

Norhizam ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat, bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

“Setakat 4.35 petang ini tidak ada apa-apa pun yang bergoyang, semuanya masih berjalan seperti biasa.

“Ada yang kata saya nak masuk sana sini, apa punya cakap itu? Semua boleh cakap. Biarlah orang bercakap, terpulanglah mulut masing-masing.

“Semua nampak saya dah bergaduh dalam sidang DUN baru-baru ini, takkan saya nak bergaduh lagi ? Saya selalu turun padang, mungkin mereka sakit hati nampak saya buat kerja dengan tenang sekarang ni,” katanya ketika dihubungi Astro Awani petang Jumaat.

Terdahulu, media melaporkan, spekulasi kini bertiup kencang mendakwa, Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan

difahamkan, keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD).

Bekas ketua menteri Melaka dan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dikatakan merupakan antara yang menyokong kerjasama dengan pembangkang.

Pemimpin lain yang disebut dalam laporan itu termasuk ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan, ADUN Telok Mas dari Bersatu, Noor Effendi Ahmad.

Sementara itu menurut sumber, terdapat usaha lebih daripada empat wakil rakyat untuk menghadap Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Khabar angin itu turut bertiup kencang mendakwa, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memohon untuk menghadap Mohd Ali pada petang ini, namun permohonan itu ditolak.

Untuk rekod Kerajaan Melaka dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan (ph) yang tumbang Mac tahun lalu.

Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!