Pelan transformasi Japen pastikan penyampaian maklumat relevan
KUALA LUMPUR - Pelan Transformasi Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) 2021-2023 akan menjadi panduan utama bagi memastikan jabatan itu terus relevan dalam penyampaian maklumat seiring perubahan era komunikasi digital ketika ini.
Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Japen, Dr Amerjit Singh S Bhag Singh berkata, pelan itu dirangka secara holistik untuk memperkukuh fungsinya sebagai jabatan penyebar dan rujukan maklumat untuk semua medium komunikasi terutama di platform digital.
Beliau berkata, sebagai permulaan, pelan itu dirangka untuk tempoh tiga tahun meliputi lima elemen penting iaitu pertama, meningkatkan prestasi, kompetensi dan produktiviti pegawai penerangan dalam penyampaian maklumat.
“Keduanya, meningkatkan keupayaan organisasi sebagai penyalur maklumat kepada rakyat, seterusnya merakyatkan penyampaian informasi untuk keberkesanan perkhidmatan dan keterangkuman kerjasama strategik dengan agensi lain.
Terakhir, berfungsi untuk mempromosi, menerapkan dan membudayakan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan secara maya program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV pada Jumaat.
Amerjit Singh berkata, Japen sebagai agensi tertua negara menjangkau usia ke-111 tahun pada tahun ini, perlu bergerak seiring perubahan bagi memastikan fungsinya sentiasa memenuhi kehendak semasa.
Japen ditubuhkan pada tahun 1910 di Trafalgar Square, London, United Kingdom dengan nama asalnya The Malayan Information Agency dan pernah ditukar nama beberapa kali sebelum mengunakan nama Jabatan Penerangan pada tahun 1950. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!