Pas, PKR fokus calon muda PRU15
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas akan terus menekankan mengenai pemilihan calon muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana dalam PRU15, pengundi muda memainkan peranan penting terutamanya dalam segmen akan datang melibatkan Undi18.
“Banyak parti tidak dapat faham sepenuhnya aspirasi mereka. Itu saya fikir akan menjadi dinamik baru dan kita akan lihat kesannya.
“Sudah tentu pengundi muda secara keseluruhan akan menjadi faktor yang penting,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau mengulas laporan Sinar Harian menyatakan mana-mana parti politik yang mengetengahkan calon muda berpotensi menjadi pilihan pengundi muda pada pilihan raya umum akan datang.
Nik Nazmi yang merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa menambah, PKR akan mengetengahkan sehingga 30 peratus melibatkan calon muda dalam pilihan raya akan datang.
“Kita akan terus menekankan bilangan yang ramai. Mungkin 20 hingga 30 peratus. Tetapi pada masa sama yang lebih penting bukan hanya calon, tetapi kita nak letak mereka kerusi-kerusi yang boleh dimenangi. Itu juga soal yang penting,” ujarnya.
Menurutnya, PKR turut sensitif terhadap aspirasi pengundi muda dan akan membawa isu berkenaan pendidikan, pekerjaan, kemiskinan bandar, penghijrahan dan alam sekitar dalam pilihan raya.
“Itu adalah perkara-perkara yang sering mereka bangkitkan. Pada masa sama, yang penting juga adalah penggunaan platform. Kita boleh katakan platform seperti Instagram, TikTok, Clubhouse, Twitter dan sebagainya adalah sangat berpengaruh dalam kalangan pengundi muda.
“Kalau pengundi yang sedikit berusia, platformnya berbeza. Sebab itu, saya percaya di peringkat Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan parti secara keseluruhan kita cuba mendekati anak-anak muda menggunakan platform-platform ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai peremajaan parti, Nik Nazmi menyifatkan PKR tiada masalah berkenaan perkara terbabit.
“Saya fikir PKR tidak ada masalah dalam proses peremajaan ini. Cuma kita tidak boleh ambil mudah.
“Ia hanya boleh berlaku dengan kita mengetengahkan secara berterusan lebih ramai anak-anak muda jawatan ddalam parti dan pada masa yang sama juga mempertaruhkan mereka dalam pilihan raya,” jelasnya.
Mengulas isu sama, Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, partinya selari dengan apa yang dinyatakan oleh golongan muda pada masa ini.
“Dalam Pas juga, kita mengetengahkan anak-anak muda. Pada tahun lepas semasa PRU14, kita ada 40 peratus calon muda melibatkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Jelasnya, Undi 18 yang dilaksanakan akan menjadi penentu kemenangan calon selain daripada pengundi sedia ada.
Katanya, disebabkan itu Pas sedang dalam proses melaksanakan peremajaan parti dan perkara itu telah dipersetujui di peringkat pusat.
“Sedang dilaksanakan (peremajaan parti). Perkara ini bukan boleh dibuat dalam satu malam. Ia memakan masa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!